Rawatan rambut yang terbaik bukanlah hanya boleh didapati dengan berkunjung ke salun kecantikan saja, malah ia juga boleh dilakukan sendiri di rumah.

Selain kos perbelanjaan yang jauh lebih murah, ia memberikan kelebihan lain kepada rambut seperti bebas daripada bahan kimia dan kesan peralatan dandanan yang boleh merosakkan rambut dalam jangka panjang.

Bukan itu saja, kita boleh memilih jenis minyak yang disukai atau mengelak daripada memakai bahan yang menyebabkan alahan kepada kulit kepala dengan mudah.

Bagi menjadikan ton warna rambut kekal lama, tampak menarik dan mengekalkan kesihatannya, laman web Daily Makeover berkongsi resipi membuat pupur rambut sendiri di rumah.

Dua bahan penting dalam pupur rambut ialah protein dan pelembap bagi membantu menjadikan rambut kuat serta berseri. Bagi mendapatkan manfaat protein dan lembapan, gunakan putih telur (protein) manakala minyak kelapa bagi menambah kelembapan pada rambut.

Rambut bersinar

Campurkan dua bahan berkenaan ke dalam mangkuk dan panaskan selama 30 saat di dalam ketuhar gelombang mikro. Kemudian, sapu pada keseluruhan rambut yang lembap dan biarkan sekurang-kurangnya selama 15 minit.

Selepas itu, bersihkan rambut dengan syampu sesuai dan anda akan rasai penampilan rambut yang lebih bersinar.

Melebatkan rambut

Labu kaya dengan potasium dan sumber terbaik bagi membantu menggalakkan pertumbuhan rambut. Malah, labu juga kaya dengan kandungan vitamin A yang baik untuk kulit kepala.

Untuk mendapatkan manfaat labu kepada rambut dan kulit kepala, cuba resipi menarik untuk membuat perapi rambut ini.

Bahan:

- 2 cawan labu (dicincang dan direbus)

- 1 sudu besar minyak kelapa

- 1 sudu besar madu

- 1 sudu besar yogurt

Cara penyediaannya:

1. Gunakan mesin pemproses makanan atau pengisar. Kisar labu dan yogurt hingga menjadi puri.

2. Kemudian, tambah minyak kelapa dan madu. Adun sebati semua campuran.

3. Sapukan campuran bahan berkenaan pada rambut yang lembap. Kemudian, tutup rambut menggunakan penutup kepala plastik dan biarkan selama 15 minit.

4. Cuci bersih rambut meng­gunakan syampu dan perapi. Kemudian, dandanlah rambut me­ngikut gaya diinginkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 11:12 AM