AKIM dan Stacy masih belum bersedia membicarakan soal perkahwinan mereka.
Oleh Wahi Aziz
wahiduzzaman@hmetro.com.my


Tiada perubahan drastik perlu dilakukan dalam kerjaya muziknya semata-mata untuk memenangi hati segelintir pihak yang sentiasa mencari silap dan cela.

Bagi Stacy atau nama Islamnya Ummu Syaikhah Stacy Anam, 25, pendirian berhubung hukum-hakam adalah tanggungjawab peribadi seseorang Muslim.

Katanya, jika diturutkan segala kehendak atau jangkaan semua pihak ia mungkin tidak termampu dilakukan secara tulus ikhlas.

“Biasalah, ada (pihak) yang faham dan ada yang memang takkan hendak faham. Tapi bagi saya yang penting adalah apa yang orang nampak di luaran itulah diri saya.

“Untuk pengetahuan semua, sebagai Muslimah saya sendiri sedar dan meletakkan had yang sudah ditetapkan selepas memeluk Islam,” katanya.

Tunang kepada penyanyi Akim ini menambah, dia tidak berhasrat melakukan perubahan besar pada kerjayanya sebagai penghibur hanya disebabkan pertikaian kecil sebahagian pihak.

“Sekarang ini saya boleh katakan tiada apa yang berbeza dalam kerjaya sebab kebanyakan peminat masih inginkan tarian dan gaya yang saya bawakan selama ini.

“Cuma mungkin perbezaan kecil dan berperingkat dari segi konsep muzik dan fesyen. Saya berubah dan belajar perlahan-lahan.

Stacy yang sedang popular dengan lagu Not For Sale ini berkata, dia berharap masyarakat lebih memahami mengenai pembaharuan dalam kehidupannya yang disesuaikannya secara berperingkat.

“Biarlah perubahan saya itu seiring dengan umur dan pemahaman yang mendalam mengenai agama ini asalkan perbuatan saya tidak melebihi daripada apa yang tidak sepatutnya.

“Saya berharap orang di luar sana faham dan dapat membezakan niat saya dalam agama dan minat serta kerjaya dalam muzik,” katanya.

Diusik mengenai butiran majlis perkahwinannya, Stacy sekadar membalas, ia adalah perkara peribadi yang tidak dapat dikongsikan tanpa persetujuan daripada Akim sekeluarga.

“Maaflah hal itu saya tidak dapat hendak bersikap terbuka dulu. Kena jaga (hati) pihak Akim juga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 9:59 AM