AFDLIN bersama helmet Stormtrooper yang direkanya.
Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Pertama kali menonton filem Star Wars Episode IV: A New Hope membuatkan penghibur popular tanah air Afdlin Shauki, 44, terus menjadi peminat tegar karya ciptaan George Lucas itu.

Mengimbau kembali kenangan menonton filem pertama Star Wars itu ketika berusia tujuh tahun, Afdlin berkata, bakat Lucas menghasilkan karya mengetengahkan teknologi serba canggih amat mengagumkan.

“Jalan cerita dan suasana latar filem itu sungguh menakjubkan, apatah lagi George mampu mencipta dunia baru serta teknologi yang belum wujud pada tahun 70-an,” katanya.

Afdlin yang juga pengarah filem berkata, daya kreativiti Lucas menghasilkan filem luar biasa yang mempunyai peminat tegar di seluruh dunia menjadi inspirasi kepadanya untuk sentiasa berfikir di luar kotak.

“Sejak itu, saya mula menghargai kerjaya pengarah. Imaginasi Lucas hebat kerana mampu membayangkan situasi pada masa depan.

“Menerusi filem itu juga kali pertama saya melihat kapal angkasa,” katanya pada sidang media Kempen Mereka Helmet Stormtrooper, di Petaling Jaya,kelmarin.

Afdlin dipilih sebagai jurucakap kempen itu dan menjadi peminat Star Wars Malaysia pertama memiliki helmet Stormtrooper rekaan sendiri dalam bentuk fizikal.

Stormtrooper antara watak antagonis popular dalam siri Star Wars.

Bercerita lanjut mengenai minatnya terhadap siri trilogi Star Wars, Afdlin berkata, minat itu turut diturunkan kepada ketiga-tiga anak perempuannya.

“Walaupun anak-anak suka kartun feminin seperti Frozen, mereka turut berkongsi minat sama dalam Star Wars selepas saya memperkenalkan Star Wars kepada mereka.

“Malah, mereka turut menonton animasi Star Wars Clone Wars. Pada masa lapang, saya menemani anak-anak menonton animasi itu,” katanya.

Menyukai watak Han Solo lakonan Harrison Ford, Afdlin berkata, babak paling digemari dalam enam siri filem Star Wars ialah ketika Darth Vader mendedahkan dia adalah bapa kandung Luke Skywalker.

Babak berkenaan dalam Star Wars Episode VI : Return of the Jedi pada 1983.

“Ketika itu saya dan semua penonton di pawagam terkejut mendengar pengakuan Darth Vader dan pendedahan itu menimbulkan ‘twist’ dalam filem Star Wars, sekali gus membuatkan saya ingin mencari maklumat lanjut mengenai latar belakang penjahat terbabit,” katanya.

Menurut Afdlin, dia sudah berulang menonton semula siri Star Wars lebih 60 kali dan turut memiliki koleksi besar figura karakter serta cenderahati filem itu.

“Koleksi turut termasuk barang terhad, pakaian dan permainan video PS3 Star Wars. Malah, saya juga mempunyai nama Jedi dan adalah anggota Kelab Peminat Star Wars di Malaysia,” katanya.

Seperti peminat lain, Afdlin turut tidak sabar menanti tayangan filem baru Star Wars, Episode VII: The Force Awakens yang dijangka menemui penonton Disember ini.

“Saya sudah tidak sabar menjadi antara penonton terawal membeli tiket filem baru Star Wars dan mungkin akan memakai kostum Stormtrooper ke pawagam,” katanya.

Sementara itu, bersempena siaran musim kedua Star Wars Rebels, peminat boleh mereka topi keledar Stormtrooper berdasarkan kreativiti sendiri menerusi laman web www.designyourhelmet.asia sebelum 6 November ini.

Bukan itu saja, peminat bertuah berpeluang memenangi hadiah utama berupa tiket percuma untuk menghadiri acara Star Wars Celebrity di London tahun depan.

Manakala lapan lagi pemenang akan menerima hadiah menarik antaranya satu unit Wii-U dan pek starter Disney Infinity 3.0.

Musim kedua Star Wars Rebels akan disiarkan pada Sabtu ini, jam 8.30 pagi di saluran Disney XD Astro.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 9:54 AM