EMILIA Clarke yang membawa watak Daenerys Targaryen dipilih sebagai Wanita Paling Seksi oleh majalah Esquire.
BLACKFISH dalam Game of Thrones
Susunan Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Pelakon Clive Russell dilaporkan bakal kembali dalam musim keenam siri televisyen fantasi Game of Thrones menerusi wataknya Brynden Tully.

Watak Tully yang turut dikenali dengan gelaran Blackfish ditamatkan dalam musim ketiga siri televisyen itu.

Sumber melaporkan ternampak Russell sebagai Blackfish ketika menjalani sebuah penggambaran di Corbet, Ireland Utara.

Penggambaran itu dikatakan untuk babak pengepungan di Riverrun serta konfrontasi Tully dengan Jaime Lannister.

Kali terakhir Blackfish muncul adalah dalam episod The Rains of Castamere, musim ketiga Game of Thrones.

Dalam episod itu, Blackfish meninggalkan istana Walder Frey sebelum peristiwa berdarah Red Wedding berlaku.

Kejadian itu meragut nyawa anak saudara perempuanya Catelyn Stark dan anak lelaki wanita itu Robb Stark.

Sejak itu, Blackfish tidak lagi muncul dalam kaca televisyen.

Musim keenam Game of Thrones yang masih dalam penggambaran bakal menyaksikan kemunculan semula watak Bran Stark, Hodor, Meera Reed dan Yara Greyjoy yang tiada pada musim kelima.

Dalam perkembangan lain, Game of Thrones menang besar untuk drama bersiri terbaik HBO dan turut meraih 12 anugerah lain di Emmy Awards ke-67, baru-baru ini.

Siri televisyen diadaptasi daripada novel George R R Martin itu sudah memenangi banyak anugerah sebelum ini, namun kemenangan Emmy kali ini adalah yang terbesar.

Selain itu, bintang Game of Thrones, Emilia Clarke yang memegang watak ratu naga, Daenerys Targaryen dipilih sebagai Wanita Paling Seksi oleh majalah Esquire.

Bulan lalu, GQ menamakan pelakon berusia 29 tahun itu sebagai Wanita Tahun Ini

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 9:45 AM