Kuala Lumpur: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menyangkal laporan Australian News Corp bahawa Malaysia gagal bekerjasama dengan Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) dalam proses penyiasatan penembakan jatuh pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 tahun lalu.

Beliau menegaskan Malaysia bukan sahaja memberi kerjasama kepada DSB, malah melakukan banyak usaha serta bekerjasama rapat dengan lembaga itu.

"Saya kecewa dan sedih mendengar berita seperti ini kerana Malaysia sudah memberi kerjasama penuh dalam siasatan itu.

"Memandangkan laporan akhir menyebut dengan jelas bahawa Malaysia telah memberi kerjasama penuh...maka adalah tidak benar untuk mengatakan Malaysia tidak memberi kerjasama penuh kepada DSB. DSB mendapat sokongan dan kerjasama penuh daripada kami," katanya di sini hari ini, apabila diminta

mengulas perkara itu.

Australian News Corp melaporkan DSB dalam laporan penyiasatan teknikalnya dikeluarkan pada 13 Oktober, didakwa mengkritik Malaysia dengan berkata negara ini bekerjasama hanya "dalam cara terhad" dalam proses penyiasatan itu.

Mengulas kenyataan Russia bahawa misil darat ke udara BUK yang menembak jatuh pesawat malang itu bukan milik mereka, Liow berkata Rusia tidak dituduh sebagai pihak yang bersalah dalam kejadian itu.

Katanya apa yang penting ialah membiarkan proses siasatan jenayah dijalankan untuk menentukan pihak yang melakukan jenayah itu. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 9:56 PM