Nur Suryani berada dalam kalangan 24 penembak bertanding pada Kejohanan Menembak Asia 2015 di Kuwait bulan depan. - Pix fail NSTP

Kuala Lumpur: Penembak elit kebangsaan disarankan untuk menggunakan sepenuhnya peluang diberikan pada Kejohanan Menembak Asia 2015 (ASC 2015) di Kuwait, November ini kerana ia merupakan medan kelayakan terakhir untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik 2016 di Rio De Janeiro, Brazil.

Pengurus skuad menembak negara, Datuk Musa Omar berkata, Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) bakal menghantar 24 penembak termasuk lima atlet skuad pelapis ke kejohanan itu yang akan berlangsung dari 1 hingga 12 Nov ini yang menawarkan 35 tempat keseluruhan ke Sukan Olimpik 2016.

Beliau menjelaskan sandaran utama diletakkan kepada dua penembak elit negara iaitu Nor Suryani Mohamed Taibi dan Hasli Izwan Amir Hassan yang pernah membuat penampilan pada Sukan Olimpik sebelum ini.

"Selain daripada atlet senior, kita turut meletakkan harapan kepada penembak lain yang menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam beberapa kejohanan tempatan sebelum ini seperti dua penembak muda iaitu Alia Sazana Azahari dan Siau Cuili," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Musa menjangkakan selain China dan India yang merupakan antara jagoan menembak Asia, beberapa negara jiran Asia Tenggara seperti Thailand dan Vietnam dijangka memberi saingan sengit kepada penembak negara dalam usaha memburu tiket ke Sukan Olimpik.

Beliau turut menjelaskan bahawa kejohanan di Kuwait itu menjadi medan pendedahan awal kepada penembak pelapis negara bagi membolehkan NSAM membina skuad muda yang mantap untuk memastikan sasaran juara keseluruhan Sukan SEA 2017 di sini tercapai.

"Kita mengharapkan penembak pelapis negara dapat mengutip pengalaman berharga bersaing dengan atlet negara lain sebelum mereka beraksi pada Sukan SEA nanti," kata Musa.

Untuk rekod, Hasli Izwan pernah meraih tiket ke Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China setelah memenangi pingat perak acara 25m Rapid Fire pada kejohanan yang sama di Kuwait pada 2007.

Nor Suryani pula membuat penampilan sulung pada Sukan Olimpik 2012 di London, England setelah menduduki tangga keempat dalam acara 10 meter Air Rifle Individu Wanita pada Kejohanan Menembak Asia 2012 di Doha, Qatar.

Senarai 24 penembak:

---------------------

Lelaki: Mohd Ezuan Nasir Khan, Muhammad Zubair Mohamad, Nik Muhd A'mullah Supardi, Muhd Hassanul Adzhar Mohd Badrin, Zul Haziq Rosli, Jonathan Wong Guanjie, Eddy Chew, Mohd Hadafi Jaafar, Hasli Izwan Amir Hasan, Hafiz Adzha.

Wanita: Nur Ayuni Farhana Abdul Halim, Nur Suryani Mohamed Taibi, Muslifah Zulkifli, Haslisa Hameed, Nur Syahirah Zulkifli, Bibiana Ng Pei Chin, Joseline Cheah, Alia Sazana Azahari, Siau Cuili.

Pelapis: Abdul Hadi Abd Malek, Mohd Lutfi Othman, Juain Izni Zamil, Judith Sharon Jimmy, Nur Zunaira Zakaria. -Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 2:58 PM