AFP

Hong Kong: Pelajar Hong Kong merancang menawan jalan raya sekitar pejabat konsul Britain kerana berang dengan kekurangan sokongan diberikan London terhadap pergerakan prodemokrasi mereka.

Penganjur berkata, mereka mahu menunjukkan kemarahan terhadap Britain yang tidak mempertikaikan tindakan China ‘melanggar’ perjanjian antara dua negara itu yang dibuat sebelum Hong Kong diserahkan kembali kepada Beijing pada 1997. Perjanjian itu dibuat untuk melindungi sistem sosial dan gaya hidup di Hong Kong.

Penyelaras kumpulan Occupy British Consulate Anna-Kat Choi berkata, pihaknya berharap ratusan, malah juga ribuan orang akan menghadiri demonstrasi itu yang diketuai pelajar sekolah menengah.

“Kami marah kerana kerajaan Britain selama beberapa tahun menafikan China melanggar deklarasi itu apabila mencampuri urusan politik Hong Kong.

“Britain bertanggungjawab memastikan perisytiharan bersama itu dilaksanakan dengan betul supaya autonomi dinikmati di Hong Kong dilindungi,” katanya.

Pihak konsul Britain enggan mengulas perkara itu.

Britain dan China menandatangani perjanjian Pengisytiharan Bersama China-British 1984 yang menekankan prinsip ‘satu negara, dua sistem’ bertujuan memastikan penduduk Hong Kong terus menikmati gaya hidup dan sistem kapitalis wilayah itu sehingga 2047.

Menurut pengisytiharan itu: “Sistem sosial dan ekonomi sedia ada di Hong Kong tidak akan diubah dan begitu juga gaya hidupnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:04 AM