Oleh Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Takaful Malaysia (MTA) menyarankan pemain industri supaya memberi fokus kepada tawaran premium am bagi memastikan negara mampu mencapai kadar penembusan 75 peratus dalam pasaran insurans konvensional dan takaful seperti ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menjelang 2020.

Pengerusinya, Zainudin Ishak berkata pemain industri perlu menawarkan lebih banyak produk premium am takaful seperti perlindungan, pendidikan kanak-kanak, perubatan dan persaraan memandangkan penguasaan pasaran bagi segmen itu bernilai 10 peratus atau kurang daripada angka terbabit berbanding 50 peratus premium tunggal.

“Kami melihat terdapat potensi menawarkan premium am dan ia perlu dikembangkan bagi mengukuhkan lagi industri takaful pada masa akan datang,” katanya pada majlis The Takaful Rendezvous 2014, di sini, semalam.

Majlis dianjurkan MTA dan Asia Insurance Review (AIR) selama dua hari itu platform untuk pemain industri membincangkan cabaran meningkatkan inovasi dan keuntungan bertujuan menjana pertumbuhan lebih baik pada masa akan datang.

Pasaran takaful Malaysia dijangka mencapai peningkatan dari segi nilai sumbangan RM10.09 bilion tahun ini berbanding RM8.12 bilion tahun lalu dengan kadar penembusan 14 peratus apabila dipacu perniagaan daripada premium tunggal.

Beliau berkata, pihaknya melihat lebih banyak proses penggabungan dan pemilikan dalam industri takaful akan berlaku memandangkan pertumbuhan pesat industri takaful tempatan.

“Saya melihat perkara ini akan menjadikan industri takaful lebih pesat melalui pengenalan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) yang diperkenalkan BNM pada Julai lalu yang mewajibkan pemain industri memisahkan lesen perkhidmatan masing-masing yang terbahagi kepada insurans am atau hayat dalam tempoh sehingga 2018.

“Situasi ini secara automatik menjadikan pemain baru dan pemegang saham takaful berada dalam pasaran lebih khusus,” katanya.

Premium tunggal adalah pelan di mana tunai dibayar secara keseluruhan untuk menjamin pembayaran kepada penerima manakala premium am memerlukan pemegang polisi melakukan pembayaran pada setiap bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:04 AM