ADA lebih 400 pokok mata kucing di ladang milik Azmi.
AZMI membuang ranting pokok.
Oleh Mohamad Hussin dan Omar Osman
rencana@hmetro.com.my


Ada yang memanggilnya buah mata kucing. Ada juga memanggilnya longan. Namun, jangan keliru dengan mata kucing dan longan kerana ia buah yang berbeza walaupun secara kasarnya ia kelihatan sama.

Pokok mata kucing sejenis subspesies pokok longan. Ia dinamakan demikian kerana rupa dan saiz buahnya seperti mata kucing, tetapi kecil sedikit berbanding longan.

Pokok mata kucing berasal dari Malaysia dan Indonesia. Nama saintifiknya ialah Euphoria malaiense.

Setiap pokok mata kucing mampu mengeluarkan 2,000 hingga 3,000 buah pada setiap musim berbuah. Ada beberapa jenis pokok mata kucing, antaranya belian, isau dan kakus.

Bagaimanapun, setiap kali tiba musim buah berkenaan, kita sering membeli buah mata kucing atau longan diimport dari Thailand.

Kini, bagi penggemar buah berkenaan, mereka boleh berkunjung ke ladang milik Azmi Morad, 56, yang mengusahakan lebih 400 pokok mata kucing jenis belian di Kampung Berapit, Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah.

Bermula dengan kosong pengetahuan mengenai pokok mata kucing, kini bekas kontraktor itu mampu tersenyum kerana tanaman yang diusahakan sejak 10 tahun lalu membuahkan hasil lumayan.

“Saya tak sangka pokok mata kucing yang ditanam selepas dua setengah tahun mengeluarkan hasil di luar jangkaan. Pokok ini menarik perhatian ramai termasuk penduduk kampung kerana buahnya lebih besar dan rasanya setanding de­ngan yang ditanam di Thailand.

“Buah mata kucing ini juga berkualiti dan selamat dimakan kerana tiada sebarang bahan sampingan berbahaya digunakan seperti racun. Ini kerana ketika pokok itu masih kecil mahupun sudah mengeluarkan buah, saya hanya meng­gunakan baja organik khas,” katanya.

Menceritakan pembabitan awalnya sebagai usahawan tani, Azmi berkata, pada tahun 2005, seorang kenalan dari Thailand bertanya sama ada dia ada tanah kosong yang boleh di­usahakan.

“Kebetulan saya ada tanah terbiar berhampiran rumah lalu kenalan itu mencadangkan supaya menanam pokok mata kucing.

“Saya memang tiada pe­ngetahuan mengenai pokok ini lalu meminta kawan menguruskannya bermula dengan 113 pokok mata kucing yang dibawa masuk dari Thailand.

“Namun, selepas yakin dengan tanaman berkenaan, saya menambah 280 pokok lagi menjadikannya hampir 400 pokok semua­nya,” katanya.

Azmi berkata, sejak mempelajari teknik penjagaan tanaman pokok itu dan melawat ladang pokok mata kucing di Thailand, dia mula berminat serta mendapatkan banyak maklumat mengenai teknik menanam serta menjaga pokok dari kecil sehingga berbuah.

“Pokok mata kucing agak sukar dijaga sewaktu kecil dan memerlukan perhatian rapi. Saya pernah bersengkang mata sehing­ga 3 pagi untuk menjaga pokok berkenaan serta mahu melihat jenis serangga yang merosakkannya.

Katanya, apabila besar, penjagaan pokok itu lebih mudah.

“Pokok mata kucing mula menampakkan hasil sebaik mencapai usia dua tahun selepas saya memberikan baja organik.

“Semua pokok mata kucing jenis belian mengeluarkan hasil antara 1,000 hingga 3,000 buah setiap pokok,” katanya.

Menurutnya, dia turut membuat kajian sendiri mengenai cara penanaman dan penjagaan pokok mata kucing.

“Saya mengkaji dan mencuba pelbagai teknik menanam pokok mata kucing jenis belian dan ida, namun hasilnya hanya jenis belian sesuai ditanam di negara ini kerana buahnya lebih kering dan tidak berair.

“Kajian mendapati pokok mata kucing perlu ‘berpantang’ selama enam bulan sebelum boleh berbunga dan berbuah semula. Jika tidak, buahnya tidak elok dan kurang sedap.

“Dengan kaedah ini, saya mampu mengawal bila pokok ini akan berbunga dan berbuah semula sepanjang tahun,” katanya.

Selain itu, Azmi berkata, masalah serangan kelawar jika tidak dikawal menyebabkan buah yang hampir masak menjadi makanan binatang itu.

“Bagi mengelak kelawar makan buah, saya memasang lampu pada semua pokok yang berbuah dan setakat ini teknik itu berkesan.

“Sehingga kini hasil tanaman pokok mata kucing mampu mendatangkan hasil antara RM6,000 hingga RM8,000 semusim dan saya menjualnya dengan harga RM8 sekilogram,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Urusniaga Segar Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Mohd Anis Mohd Yasin berkata, belum ada petani menanam pokok mata kucing secara komersial, sebaliknya ditanam untuk makan sendiri dan jualan secara kecil-kecilan.

Beliau berkata, FAMA menggalakkan petani menanam pokok buah mata kucing, tetapi perlu mendapatkan nasihat daripada Jabatan Pertanian mengenai cara penanaman.

“Petani juga boleh mendapatkan pendapat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengenai teknologi terkini teknik tanaman pokok mata kucing sama ada sesuai di tanam di negara ini atau sebaliknya.

“Permintaan untuk buah mata kucing memang ada tapi kita terpaksa import dari Thailand. Namun, untuk meningkatkan permintaan, FAMA perlu meningkatkan promosi dari segi kebaikan buah ini.

“Kita akan kaji dari segi kesihatan seperi khasiat buah mata kucing. Daripada kita import lebih baik tanam pokok mata kucing di negara ini, sekali gus dapat mengurangkan pe­ngaliran keluar wang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 10:30 AM