ROHANA (tengah) pada pelancaran Go Shop Chinese segment Channel 318.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Astro GS Shop Sdn Bhd (AGSS), yakin untuk mencapai sasaran pendapatan sebanyak RM170 juta menerusi perkhidmatan beli-belahnya, Go Shop menjelang Januari 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif, Astro Malaysia Holdings Berhad, Datuk Rohana Rozhan berkata, setakat Julai 2015 Go Shop merekodkan pendapatan sebanyak RM75 juta dan telah menjual 500,000 produk kepada 250,000 pelanggan di seluruh negara sejak dilancarkan November lalu.

Beliau berkata, sebanyak 80 peratus daripada jumlah pendapatan itu disumbangkan oleh pembelian produk Go Shop menerusi saluran televisyen dan 20 peratus daripadanya pula menerusi jualan mudah alih serta e-dagang.

“Kami percaya jumlah pendapatan ini dapat dicapai terutama didorong oleh pasaran jualan bukan kedai di Malaysia yang dijangka berkembang sebanyak 44 peratus kepada RM3.6 bilion menjelang 2020.

“Malah, sambutan pelanggan terhadap produk yang ditawarkan di Go Shop sangat memberangsangkan kerana ini adalah usaha pertama Astro dalam bidang e-dagang yang membolehkan rakyat Malaysia membeli-belah pada bila-bila masa,” katanya pada majlis pelancaran saluran Go Shop berbahasa Mandarin, semalam.

Hadir sama, Pengerusi AGSS dan Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan.

Go Shop bahasa Mandarin yang pertama di Malaysia akan ditayangkan di saluran 318 di Astro dan NJOI dalam format definisi tinggi di TV Astro.

Sementara itu, Tan berkata, melalui aset pelbagai medianya, AGSS mempunyai potensi capaian yang tiada tandingan iaitu sebanyak 4.6 juta isi rumah atau 65 peratus rakyat Malaysia.

“Rakyat Malaysia ingin menikmati pengalaman membeli-belah sepenuhnya sama ada daripada televisyen, laman web atau peralatan mudah alih. Go Shop membolehkan kami menyesuaikan tabiat membeli-belah rakyat yang semakin berubah iaitu daripada pergi ke kedai biasa kepada platform maya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 7:06 AM