FOTO www.codeavengers.com

Kuala Lumpur: Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (Pikom) berharap kerajaan melaksanakan kadar sifar bagi perkhidmatan dan produk teknologi maklumat dan komunikasi dalam Bajet 2016.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pikom berkata langkah itu akan membantu memastikan harga kekal berpatutan untuk dimiliki oleh rakyat Malaysia walaupun dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan kelemahan ringgit.

“Berikutan Akta GST 2014 mula berkuat kuasa pada 1 April tahun ini, purata harga komputer dan barangan berkaitan telah meningkat, menyebabkan anggaran sehingga 30 peratus penurunan dalam permintaan bagi produk dan perkhidmatan ICT,” katanya.

Pikom berkata walaupun persatuan memuji usaha berterusan kerajaan untuk menjadikan jalur lebar lebih mampu dimiliki, namun masih tidak mencukupi kerana kos sambungan Internet Malaysia masih terlalu tinggi.

“Kerajaan perlu serius untuk mengawal selia kadar harga jalur lebar syarikat-syarikat telekomunikasi dan persaingan dalam kalangan peserta untuk menggalakkan kadar pengambilan jalur lebar yang lebih besar ke arah merapatkan jurang digital serta meningkatkan penembusan di kawasan luar bandar dan yang kurang liputan,” katanya.

Pikom juga mencadangkan kerajaan agar meningkatkan tender dalam syarikat berkaitan kerajaan dalam mewujudkan keseragaman, konsisten, ketelusan dan integriti dalam proses perolehan.

“Ini termasuk kos standard dan seragam bagi dokumen tender. Walaupun Pikom mengakui terdapat keperluan untuk memastikan hanya pembida yang serius harus dibenarkan untuk mengambil bahagian, ia berharap kos semasa sehingga RM10,000 untuk dokumen tender akan dikaji semula kerana ini boleh menggalakkan atau tidak termasuk banyak pembida yang tulen, terutama daripada syarikat-syarikat lebih kecil,” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 10:30 PM