Kuala Lumpur: Sharp-Roxy Sales and Service Company (M) Sdn Bhd (SRSSC) dengan kerjasama Pericom Imaging (M) Sdn Bhd menyasarkan kira-kira 20 pelanggan baru menggunakan kemudahan perisian Penyelesaian Dokumen Pejabat membabitkan perolehan jualan mencecah RM500,000 pada akhir tahun ini.

Penolong Pengurus Besar Produk Latihan dan Pembangunan SRSSC, Sukumar Krishnan berkata, pihaknya sudah menjalinkan kerjasama dengan Pericom Imaging sejak tiga tahun dan kini, Pericom Imaging sudah mempunyai 30 pelanggan yang menggunakan kemudahan itu.

Menurutnya, sasaran bagi menggunakan kemudahan itu adalah syarikat-syarikat besar dan agensi kerajaan yang menggunakan banyak dokumen dalam kerja seharian, sekali gus sistem perisian Penyelesaian Dokumen Pejabat mampu mengurangkan kos, malah memaksimumkan tahap produktif.

“Bagi menggunakan kemudahan ini, ia memerlukan kerjasama kedua-dua pihak apabila syarikatnya menawarkan produk pengimbas dan pencetak, manakala Pericom Imaging menyediakan perisian Docuware bagi menyimpan, mengedar data dokumen.

“Dokumen kertas perlu diimbas dengan menggunakan mesin pengimbas dan ditukarkan kepada digital sebelum data berkenaan disimpan dalam penyimpan serta boleh diedarkan sebagai fail digital, sekiranya hendak digunakan semula ia boleh dicetak,” katanya pada program Integrate & Innovate with Sharp Solution System, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Bahagian Sistem Dokumen Solar/Perniagaan LED, Jun Kasawaki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 6:22 AM