Muhamad Zahari (kiri) menatap mayat Mohd Izuan yang ditemui di tebing sungai.
Oleh Amrullah Abdul Karim
hmetroshahalam@hmetro.com.my

Bukit Beruntung: “Ketika kejadian, kami mencari laluan mudah untuk naik ke tebing sebelum tiba-tiba arus deras menghanyutkan kami bertiga,” kata Muhamad Zahari Amirudin, 26, mangsa terselamat dalam kejadian arus deras di longkang besar Jalan Cempaka 3 berhampiran Bukit Beruntung Golf & Country Resort di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang, Muhamad Zahari bersama Mohd Izuan Md Jani, 34, dan Razmi Hussin, 37, menangguk ikan di longkang berkenaan sebelum paras air tiba-tiba meningkat disusuli arus deras.

Mohd Izuan dan Razmi gagal menyelamatkan diri dengan mayat Razmi ditemui pada jam 11.07 pagi semalam manakala mayat Mohd Izuan ditemui jam 11.10 pagi, enam kilometer dari lokasi kejadian.

Muhamad Zahari berkata, ketika mereka menangguk ikan di longkang berkenaan, air ketika itu hanya separas paha, tetapi ketika mahu pulang ia tiba-tiba meningkat hingga ke paras dada disusuli arus deras.

“Ketika kami dihanyutkan arus, saya berada di belakang mereka dan sempat berpaut pada batang besi paip manakala mereka gagal bertahan sebelum terus dibawa arus deras.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 10:31 AM