New Delhi: Dua kanak-kanak berusia dua tahun setengah dan lima tahun mangsa terbaru rogol kejam dalam dua kejadian berasingan di New Delhi, kata polis semalam.

Dalam kejadian pertama, kanak-kanak berusia dua tahun setengah itu dirogol ketika bermain di luar rumahnya di barat bandar itu, kata Timbalan Ketua Polis Delhi Superintendan Pushpendra Kumar.

Dia ditemui anggota keluarga dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berdarah di sebuah taman, tiga jam selepas hilang ketika kejiranannya mengalami gangguan elektrik.

Polis menahan beberapa suspek tetapi belum ada penangkapan rasmi, katanya.

Sementara itu, polis turut menyoal siasat tiga lelaki berhubung kejadian rogol beramai-ramai terhadap seorang budak perempuan berusia lima tahun lewat kelmarin. Mereka dilaporkan stabil.

Minggu lalu, budak berusia empat tahun ditemui di tepi landasan kereta api selepas dirogol dan dikelar dengan kejam.

Biro Rekod Jenayah Kebangsaan India melaporkan lebih 2,000 wanita dan gadis dirogol di New Delhi tahun lalu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 8:06 AM