PENYELAM bersedia melaksanakan misi meletakkan tukun di dasar laut.
PESERTA program seronok dengan hasil semaian.
KARANG yang disemai perlu sentiasa dipantau bagi memastikan ia terus hidup.
Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin
metahad@hmetro.com.my

Pulau legenda Langkawi memang bertuah dikurniakan kepelba­gaian bio yang tidak terhitung nilainya.

Keindahan pantainya, keunikan pelbagai pulau di persekitarnya dan muka bumi yang berbukit-bukau tidak perlu dihebahkan lagi. Ekonomi penduduk di situ pula bergantung pada sektor pelancongan di samping kekayaan hidupan marin sebagai sumber pendapatan.

Namun begitu, pada masa sama kebergantungan terlalu banyak pada sumber laut dan kepesatan aktiviti pelancongan juga memberi impak negatif pada alam, terutama hidupan dan tumbuhan marin.

Keadaan ini mendorong sekumpulan penyelidik dan penyelam skuba berminat seterusnya membentuk organisasi yang dikenali Langkawi Reef Care dalam menumpukan pada usaha pemuliharaan karang di sekitar perairan Langkawi.

Menurut Ketua Penyelidik, Jamil Tajam, kemusnahan terumbu karang di pulau itu berada pada tahap serius. Ia mengakibatkan kadar kelangsungan hidup hidupan laut di kawasan tersebut terganggu dan lama-kelamaan akan berkurangan.

“Secara tidak sedar, tekanan ini membawa kepada pengurangan yang meluas terhadap sumber perikanan di kawasan ini.

“Terumbu adalah habitat serta sumber makanan buat sebahagian hidupan marin di sini. Justeru satu ancaman langsung dapat dilihat serta-merta daripada kesan kemusnahan ialah tiada lagi ikan berada dalam kawasan kerosakan,” kata Pegawai Penyelidik Teknologi Marin, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Tambahnya, situasi ancaman kemusnahan itu kian meruncing apabila disedari kebanyakan terumbu karang hidup dalam keadaan air yang keruh serentak diancam secara intensif pembangunan pesat zon pantai untuk tujuan tarikan pelancongan mahupun ancaman nelayan setempatkawi Reef Care bagi tujuan pemuliharaan,” kata Jamil yang ditemui ketika menyelia Projek Latihan Komuniti Melestarikan Kelangsungan Karang 2015 di pulau berkenaan, baru-baru ini.

Dalam program dua hari itu, seramai 30 peserta merangkumi penyelam skuba, belia, nelayan dan penduduk Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan (KPSP) Sungai Kilim, Tanjung Rhu dan Kubang Badak dibimbing de­ngan teknik semaian terumbu karang pada kerangka paip serta pemindahan benih terbabit ke dalam laut.

Menurut seorang lagi tenaga penggerak Langkawi Reef Care ini, Mohd Rusydan Abdullah, idea ini bermula apabila Pejabat Belia dan Sukan Daerah Langkawi mula mengadakan program pendidikan marin bagi remaja di pulau ini pada 2012.

“Golongan muda ini perlu dibimbing dan dirangsang perasaan sayang mereka kepada hidupan laut dan diberikan maklumat betul berkaitan spesies karang yang ada di sekitar mereka.

“Ketika ini, spesies karang-karangan yang berjaya dibiak adalah daripada jenis Acropora dan Gorgoian. Usaha kita lakukan ialah menerusi benih yang mudah didapati dengan mengumpulkan karang-karang patah atau rosak akibat tersangkut pada pukat nelayan, lalu merawat dan menyemaikannya semula,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta program terbabit, Sabri Musa, mengalu-alukan usaha dilakukan badan itu.

“Di samping mendidik nelayan supaya lebih menghargai alam sekitar, projek ini diharap dapat memba­ngunkan pendidikan pelancongan atau ‘edu-tourism’ dalam kalangan pengunjung dan pelancong.

“Saya terbabit secara langsung dengan industri pelancongan, berasa penting kelab ini terus membantu kami juga nelayan pesisir tempatan mendapat kefahaman kaedah terbaik dalam mengelak berlakunya kerosakan pada terumbu ini.

“Cetusan idea kelab menerusi konsep program anak angkat karang bersama pelancong, saya lihat tidak saja dapat menjaga terumbu dan hidupan laut, malah ia aktiviti unik dapat menarik pelancong kembali ke sini,” katanya.

Tumpuan projek ialah di Pulau Dangli, Pulau Pasir dan Pulau Gasing yang terkenal sebagai destinasi aktiviti snorkeling pelancong.

Seorang penggiat sukan lasak, Indera Sudarmin Mohd Noor, menyertai program kerana berasa puas selaku seorang pencinta lautan.

“Apabila program ini dimulakan dahulu, hati saya sudah tertarik untuk me­nyumbang bakti kepada hidupan marin dan menyebabkan saya tidak pernah ketinggalan untuk menyertai program seperti ini setiap kali ia dianjurkan.

“Bagi jangka panjang, saya bercadang memiliki lesen selam skuba agar dapat membantu Langkawi Reef Care mencapai objektifnya,” katanya.

Dalam komitmen memulihara spesies karang-karangan ini, aspek keselamatan dalam air tidak boleh diabaikan kerana program terbabit memerlukan skil menyelam antara aktiviti berisiko.

Lantaran itu, Saiful Munir Md Isa dipertanggungjawab­kan memastikan keselamatan peserta. Ketua Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Langkawi itu berkata, dia mengamalkan aspek keselamatan tinggi se­iring disiplin sebagai anggota keselamatan mahupun bantuan.

“Biarpun ada antara peserta penyelam berpengalaman, mereka perlu juga mendengar arahan dan panduan daripada urussetia keselamatan. Lagi pun, ada yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti ini dan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, ia akan membabitkan peserta lain dalam air.”

“Di sisi lain, usaha ini bagus kerana dapat menaikkan imej jabatan bomba yang terkenal dengan kemahiran serta profesionalisme yang tinggi dalam melakukan tugas menyelamat,” katanya.

Langkawi Reef Care kini tidak sahaja menumpukan usaha menyelamatkan karang di perairan Langkawi, juga melaksanakan projek serupa di Pulau Payar dan Pulau Songsong di Kedah.

Justeru, NGO ini amat berharap projek berkenaan berjaya memulihara karang dan meningkatkan populasi spesies ikan dan karang, sekali gus menjadi produk pelancongan terbaharu Langkawi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 5:02 AM