CORAK pelekat yang ringkas.
METER kelajuan digital.
PERUMAH lampu hadapan.
BENTUK bergaya.

“Cantik motosikal,” itulah tegur seorang lelaki berumur lingkungan 20-an di persimpangan lampu isyarat ketika melihat penulis menunggang Yamaha Y15ZR baru-baru ini.

Lelaki terbabit cukup teruja dengan reka bentuk motosikal berkenaan dan berhasrat mahu menggantikan jentera dua rodanya yang ketika itu menunggang kapcai berkapasiti 100cc.

Perbualan ringkas di persimpangan lampu isyarat itu sudah cukup membuktikan Yamaha Y15ZR sememangnya menjadi kegilaan segelintir masyarakat tempatan terutama dalam kategori moped.

Sebenarnya, legasi motosikal moped jenama Yamaha seperti 125Z dan LC135 boleh dikatakan jentera dua roda paling laris di pasaran buat masa ini sebelum hadirnya Yamaha Y15ZR.

Populariti kedua-dua motosikal itu sangat baik sehingga menjadi buah mulut di setiap bibir masyarakat di negara ini.

Bagaimanapun, motosikal tunggang uji Yamaha Y15ZR dalam ruangan ini, ia boleh digelar ‘Raja Jalanan’ yang disasarkan penunggang berumur sehingga 30 tahun.

Gaya penampilan yang ditonjolkan sangat baik berbanding jentera lain selepas menerapkan rekaan motosikal berkuasa tinggi iaitu Yamaha YZFR1.

Garisan tajam pada bahagian sisi tampak lebih sasa serta padanan lampu belakang LED memberi pencahayaan yang terang.

Rekaan dapra hadapan turut memberi impak sebagai sebuah jentera superbike yang digabungkan dengan lampu isyarat rekaan lebih moden. Meter kelajuan dengan pelbagai fungsi pula memaparkan paparan LCD yang menarik.

Malah, bahagian ekzos Y15ZR juga didatangkan de­ngan tiga peringkat peredam yang bakal menghasilkan bunyi sporty.

Motosikal itu sebenarnya sudah dilancarkan di beberapa negara Asia Tenggara lain dan dikenali Yamaha Exciter 150 di Vietnam selepas diperkenalkan secara global pada penghujung tahun lalu.

Namun, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) baru saja memperkenalkan model berkenaan di negara ini beberapa bulan lalu dan penulis terpilih dalam kelompok pertama menunggang uji jentera ini.

Sepanjang menunggang motosikal itu, penulis rasakan enjin 150cc SOHC penyejuk cecair suntikan petrol mampu memberi kuasa 15.4 PS cukup lancar.

Enjin Y15ZR 150cc itu sudah ditala semula bagi memberi keselesaan penunggang serta menawarkan lebih tenaga.

Kuasa pecutan mampu memuaskan hati dan ditambah pula dengan kerangka ringan bagi memberi pengendalian lebih cemerlang pada semua keadaan jalan raya.

Di kawasan selekoh, rim bersaiz 3.50 inci dengan tayar berukuran 120/70-17 pada bahagian belakang memberi cengkaman yang maksimum pada permukaan jalan.

Kuasa hentiannya juga cukup baik selepas bahagian hadapan dan belakang menggunakan brek cakera.

Ketika di lebuh raya, ia cukup lancar dalam kelajuan antara 130 sehingga 140 kilometer sejam (km/j), selain rasa kurang getaran berbanding motosikal Yamaha 135LC yang dimiliki penulis.

Pendikitnya juga boleh dikatakan bertindak balas sempurna mengikut kemahuan penulis yang mahu memecut motosikal itu pada tahap maksimum.

Pemegangnya rasa sedikit rendah tetapi masih lagi selesa untuk tunggangan jarak jauh, selain mudah untuk dikawal di celah kenderaan yang sesak.

Biarpun ia mempunyai klac tangan, ia tidak rasa berat atau lenguh ketika menunggang di waktu puncak kerana prestasi enjin itu memberi kuasa yang cukup bagus pada gear tinggi.

Bagaimanapun, motosikal yang ditunggang uji ini tidaklah boleh memecut melebihi 170km/j biarpun ia menggunakan enjin 150cc memandangkan ia turut dicipta untuk keselamatan penunggang.

Yamaha Y15ZR dijual pada harga runcit RM8,000 dengan ditawarkan tiga pilihan warna dan grafik menarik iaitu hitam, biru dan merah.

Bagi penulis, motosikal itu memberi satu lembaran baru kepada peminat moped di negara ini yang mahukan jentera berprestasi dan bergaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 5:01 AM