DILENGKAPI ciri keselamatan terkini.
Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my


Lexus Malaysia memperluaskan lagi keluarga Lexus IS de­ngan memperkenalkan varian 200t bagi menggantikan model IS 250 sebelum ini.

Lexus IS 200t ini turut diberikan nadi baru membabitkan enjin pengecas turbo 2.0 liter baru yang digabungkan transmisi lapan kelajuan Sports Direct Shift.

Sebagai tambahan kepada enjin pengecas turbo 2.0 liter, penambahbaikan turut dibuat membabitkan ciri keselamatan seperti 10 beg udara SRS dan titik buta dengan belakang ‘Cross Alert Trafik’ untuk varian Luxury, F Sport dan hibrid.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki berkata, beberapa pembaharuan yang dilakukan terhadap Lexus IS termasuk penambahbaikan ciri keselamatan dengan keupayaan prestasi yang boleh menambah keselesaan pemanduan.

Menurutnya, sejak dilancarkan pada 2007, Lexus IS sudah melebihi jangkaan dalam menyumbang jualan kepada Lexus Malaysia.

“Kami percaya penambahbaikan itu akan diterima dengan lebih baik oleh masyarakat,” katanya.

Ditawarkan dengan empat varian iaitu Lexus IS 200t Premium, Lexus IS 200t Luxury, Lexus IS 200t F SPORT dan Lexus IS 300h.

Ia didatangkan dengan program jaminan bateri hibrid selama lapan tahun serta jaminan standard tiga tahun atau 100,000 kilometer.

Harga Lexus IS 200t Premium dijual pada RM298,000; Lexus IS 200t Luxury (RM350,000); Lexus IS 200t F Sport (RM385,000) dan varian hibrid (RM452,000).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 4:42 AM