(DARI kiri) Pengurus Besar Pengiklanan NSTP Jeannie Leong, Takashi, Brynn Lovett, Abdul Jalil, Pengurus Besar Wilayah dan Perkhidmatan Kreatif Zulkarnain Abd Talib dan Vincent memotong ribon sebelum pelepasan peserta.
Oleh Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Demi menyampaikan mesej bahaya kanser payudara, seramai 700 peserta menyertai acara berbasikal sempena Kempen Riben Merah Jambu 2015 Wacoal bersama The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Ahad lalu.

Kempen yang dilaksanakan pengeluar jenama pakaian dalam antarabangsa sejak tahun lalu bersama NSTP bertujuan memberi kesedaran mengenai bahaya penyakit itu yang kini menjadi pembunuh nombor satu di seluruh dunia.

Kayuhan dengan tema baju merah jambu bermula seawal jam 8 pagi dari Balai Berita NSTP melalui beberapa jalan utama di ibu kota sebelum berpatah balik ke lokasi permulaan.

Perjalanan sejauh 24 kilometer itu melalui beberapa laluan seperti Jalan Travers, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Conlay, Persiaran KLCC dan Jalan Pudu sebelum berpatah balik ke NSTP.

Lebih menarik kayuhan turut disertai Pengarang Urusan NSTP Datuk Jalil Abdul Hamid selepas menyempurnakan pelepasan peserta.

Turut menyertai kayuhan itu Pengarah Eksekutif Wacoal Malaysia Sdn Bhd, Takashi Watanabe.

Menurut Takashi sebagai pengeluar jenama pakaian dalam antarabangsa, Wacoal akan memberi kesedaran memerangi kanser payudara dan sekali gus menggalakkan gaya hidup sihat.

Beliau berkata kempen yang menjadi sebahagian tanggungjawab sosial korporat Wacoal dijalankan pada Oktober setiap tahun mengikut jadual syarikatnya.

“Selain menjadi perintis menghasilkan pakaian dalam berkualiti dan menyerlahkan tubuh wanita dengan selesa, Wacoal Jepun serta anak syarikatnya membabitkan diri dalam pelbagai kempen.

“Kempen dilaksanakan sejak 2003 itu bertujuan memberi kesedaran mengenai bahaya barah payudara yang menjadi pembunuh nombor satu di seluruh dunia.

“Kerjasama strategik antara NST dengan Wacoal sangat dihargai kerana ia mampu menyebarkan kesedaran dengan lebih meluas dan tindakan dapat dilakukan dengan pantas sebelum dapat dikesan. Mencegah lebih baik daripada merawat,” katanya.

Tahun lalu, seramai 500 peserta menyertai kempen tersebut dan melakukan kayuhan basikal di ibu kota sejauh 20 kilometer.

Menurut Takashi, perjuangan menentang barah payudara yang selari dengan Kempen Reben Merah Jambu sangat dekat dengan jenama berkenaan dan pihaknya tidak ketinggalan memberi sokongan menjayakan misi mengurangkan peningkatan jumlah pesakit barah.

Bagi memeriahkan acara yang berlangsung sehingga jam 2 petang berkenaan, sebanyak 10 hadiah cabutan bertuah dan pertandingan Hiasan Basikal Tercantik turut diadakan.

Lebih meriah, Miss Malaysia 2015, Brynn Lovett, merangkap duta produk Wacoal turut menyerikan acara berkenaan.

Pada masa sama, Kempen Pink Ribbon Fitting Wacoal diadakan sepanjang bulan ini bagi menyemarakkan kesedaran bahaya kanser payudara di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 12:54 AM