Kemalangan dua kereta yang mengorbankan seorang remaja di Kilometer 6 Jalan Al-Muktaffi Billah Shah-Pasir Raja, 5.30 petang semalam. FOTO Rosli Ilham
Oleh Rosli Ilham
am@hmetro.com.my

Dungun: Remaja maut, tiga rakannya cedera selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan kereta lain di Kilometer 6 Jalan Al-Muktaffi Billah Shah-Pasir Raja, di sini, 5.30 petang semalam.

Ahmad Muslim Roslan,18, dari Felda Kerteh 4 maut selepas kereta Proton Wira yang dipandunya bertembung dengan kereta Nissan Sentra.

Rakannya, Muhammad Noor Asyraf Mohd Ghazali, 18, cedera di kepala, manakala Noorsyafiqa Mohd Ghazali, 20, patah paha kanan dan Muhammad Ammar Sabran,18, cedera di bahagian dalaman.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Nissan Sentra yang dipandu Mohd Shah Botok, 55, terbabas selepas melalui satu selekoh sebelum bertembung dengan kereta yang dipandu mangsa yang datang dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaakub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 12:34 PM