PEMBINAAN projek PR1MA Bandar Utama yang giat dijalankan.
Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bajet 2016 yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak 23 Oktober ini dijangka terus memberi tumpuan kepada sektor hartanah kerana aspek perumahan perkara yang menjadi keutamaan rakyat khususnya dalam menyediakan rumah mampu milik.

Jika melihat kepada trend bajet tiga tahun lalu, perkara utama kepada sektor hartanah adalah pelaksanaan rumah mampu milik yang dibangunkan agensi di bawah kementerian ataupun hasil kerjasama dengan pihak swasta, malah kerajaan juga mula memperkenalkan pelbagai skim dalam segmen itu dengan kumpulan sasaran tersendiri.

Perunding Hartanah Satu Solution Corporate Services, Tuanbri Hashim berkata, dalam pembentangan bajet tiga tahun lalu, kerajaan mula memperkenalkan pelbagai skim bantuan kewangan kepada rakyat untuk membeli rumah mahupun mendirikan rumah untuk rakyat yang dijual pada harga rendah.

Beliau berkata, situasi tiga tahun kebelakangan ini memperlihatkan keadaan harga pasaran hartanah semakin meningkat pada sekitar 10 peratus setahun dan ini memberi tekanan kepada rakyat untuk membeli rumah dengan bajet individu yang terhad.

“Namun, dengan pengenalan misalnya skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) membantu rakyat mendapatkan harga kediaman 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran semasa di kawasan itu.

“Namun, apa yang menjadi isu sekarang ialah permintaan kediaman antara RM200,000 hingga RM300,000 menjadi perhatian pembeli kerana lebih sesuai dengan bajet mereka untuk pembayaran pembiayaan ansurans setiap bulan walaupun ketika ini harga dalam lingkungan itu semakin sukar didapati,” katanya kepada Bisnes Metro.

Tuanbri berkata, pihaknya menjangkakan dalam Bajet 2016, kerajaan memperkenalkan lebih banyak skim dan memfokuskan kepada lebih banyak kumpulan sasar serta meluaskan pembangunan rumah mampu milik kepada pemaju swasta.

Katanya, antara perkara yang mungkin dapat membantu rakyat memiliki rumah dengan harga pasaran yang semakin meningkat ialah memperkenalkan skim kepada graduan dengan tidak mengenakan kadar faedah pembelian dalam tempoh lima tahun pertama dan syarat pembeli tidak boleh menjual rumah dalam satu tempoh tertentu.

“Memperuntukan lebih banyak bank tanah kepada agensi perumahan kerajaan juga dapat membantu mengawal harga jualan kerana ketika ini antara faktor utama peningkatan harga rumah disebabkan kos tanah yang tinggi.

“Selain itu, kerajaan boleh mengawal harga pasaran menerusi pengenalan jual beli kediaman menerusi satu agensi yang ditubuhkan dan di sini, kerajaan boleh mewujudkan dua segmen kediaman iaitu segmen pelaburan atau untuk didiami yang mana bagi segmen kediaman untuk didiami harga jualan semula adalah sama seperti dibeli oleh pembeli manakala segmen pelaburan, berkonsepkan harga pasaran terbuka,” katanya.

Tuanbri berkata, pemberian insentif kepada kontraktor yang menggunakan Sistem Binaan Industri (IBS) juga boleh membantu rakyat mendapatkan harga kediaman lebih murah memandangkan kos pembinaan dapat dijimatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 7:04 AM