Kuala Lumpur: Aksi cemerlang juara lapan kali skuasy wanita dunia, Datuk Nicol Ann David (gambar) dalam Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat 2015 tersekat selepas tumpas di suku akhir kepada pemain England Laura Massaro semalam.

Kekalahan itu yang kelima buat Nicol sepanjang tahun ini.

Menurut laman web rasmi kejohanan, www.usopensquash.com, Nicol tewas 11-8, 11-4, 6-11, 8-11, 10-12 kepada pemain pilihan kelima itu.

Perlawanan sengit lima set yang berlangsung di Drexel University, Philadelphia, itu mengambil masa sejam 11 minit.

Nicol, pemain pilihan utama kejohanan, bermula baik dengan menguasai dua set pertama 11-8, 11-4, bagaimanapun Laura bangkit semula pada set ketiga untuk menang 11-6.

Pemain negara itu bagaimanapun nampak kehilangan rentak pada set keempat bagi membolehkan lawannya menyamakan kedudukan dengan 11-8.

Dalam set penentuan, kedua-dua pemain beraksi dengan semangat tinggi namun Laura menang 12-10 bagi membolehkannya menempah tempat ke separuh akhir.

Laura akan bertemu pemain Mesir Omneya Abdel Kawy di separuh akhir yang menewaskan pemain India Dipika Pallikal 9-11, 11-6, 11-8, 2-11, 11-3. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 6:24 AM