SAAT Johnson melanggar Sekiguchi.

Tokyo: Datuk Bandar London, Boris Johnson menyebabkan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun jatuh terlentang ketika bermain ragbi sentuh di Jepun.

Johnson yang berada di Jepun untuk lawatan perdagangan dijemput menyertai sekumpulan kanak-kanak yang bermain sukan itu di sebuah padang di Tokyo.

Bagaimanapun, ketika bermain dia secara tidak sengaja melanggar Toki Sekiguchi menyebabkan kanak-kanak itu terlentang.

Sekiguchi mengaku rasa ‘sedikit kesakitan’ akibat kejadian itu. Johnson yang juga peminat tegar sukan ragbi meminta maaf dan menjabat tangannya selepas itu.

Mereka kemudian bergambar bersama sebelum Johnson menyerahkan bola ragbi 2015 kepada Sekiguchi.

Ragbi sentuh berbeza dengan ragbi biasa kerana tidak membabitkan unsur kasar, sebaliknya seseorang menghalang lawannya dengan menggunakan sentuhan.

Ini bukan kali pertama Johnson menjatuhkan kanak-kanak ketika bermain sukan, malah tahun lalu membuat perkara sama ketika bermain bola sepak dengan seorang budak. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 6:42 AM