Muhammad Fikri (dua kiri) bertukar perjanjian dengan Mustafha, semalam.
Oleh Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sun Life Malaysia Takaful Berhad (Sun Life Malaysia) menjangka menjana sasaran premium RM600 juta melalui perjanjian bankatakaful dengan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) dalam tempoh empat tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life Malaysia Muhammad Fikri Mohamad Rawi berkata, syarikat optimis kerana permintaan meningkat dalam industri takaful tempatan yang memiliki dana aset RM22.7 bilion dengan penguasaan 30.7 peratus untuk tempoh lima tahun sebelum ini.

Menurutnya, perjanjian bankatakaful itu diharap menarik 240,000 pemegang polisi setiap tahun dan mencecah sehingga 900,000 pemegang polisi menjelang 2019.

“Kami teruja mengembangkan prospek hubungan bankatakaful dengan Bank Rakyat dan ia langkah wajar memandangkan ikatan yang terjalin sejak 2013,” katanya selepas menandatangani perjanjian antara kedua-dua pihak, di sini, semalam.

Perjanjian itu menyaksikan Sun Life Malaysia memperkenalkan produk mereka kepada lima juta pelanggan Bank Rakyat di seluruh negara.

Sebelum ni, Sun Life Malaysia menawarkan beberapa produk perlindungan kepada Bank Rakyat seperti Takaful Terma Diperkecilkan (DTT), Takaful Pemilik Rumah dan Takaful Mikro membabitkan 639 kes dengan nilai tuntutan RM25 juta.

Ketika diminta mengulas mengenai kerjasama Sun Life Malaysia dengan bank lain, Muhammad Fikri berkata, pihaknya turut menawarkan pelbagai produk bankatakaful kepada CIMB Bank.

“Kami turut berbincang bersama pihak lain untuk meluaskan pasaran produk Bankatakaful ini, namun ia hanya diumumkan apabila dimuktamadkan kelak kerana fokus kami adalah mengukuhkan kerjasama dengan rakan kongsi sedia ada iaitu CIMB Bank dan Bank Rakyat,” katanya.

Presiden dan Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd Razak berkata, perkongsian itu selari dengan fokus memaksimumkan potensi bank dalam menyediakan penyelesaian kewangan menyeluruh kepada pelanggan.

“Kerjasama ini membantu mewujudkan lebih nilai kepada pelanggan dan membolehkan kami menawarkan produk takaful yang relevan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 6:21 AM