EMPAT kanak-kanak yang ditemui merayau-rayau di depan sebuah restoran di Sibu Jaya, Sabtu lalu.
Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my


Petra Jaya: Empat kanak-kanak yang didakwa dihalau dari rumah dan ditemui merayau-rayau di depan sebuah restoran di Sibu Jaya Sabtu lalu ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak, Batu 12, Jalan Kuching-Serian untuk tempoh sebulan bermula hari ini.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, kanak-kanak berusia dua hingga tujuh tahun itu ditempatkan di pusat jagaan berkenaan sehingga siasatan lengkap selesai dijalankan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti cerita sebenar sama ada mereka dihalau seperti didakwa atau keluar sendiri dari rumah.

"Setakat ini kita belum mengetahui cerita sebenar malah polis turut menghadapi kesukaran mengenal pasti identiti mereka kerana ketika ditemui kanak-kanak berkenaan tidak membawa sebarang dokumen.

"Usaha sedang dijalankan untuk mengesan ibu kandung mereka. Kami percaya mereka bersaudara tetapi tetap perlukan dokumen yang relevan untuk pengesahan," katanya ketika sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan mengenai empat kanak-kanak perempuan yang ditemui merayau-rayau sambil membawa dua beg pakaian, payung dan wang RM70 di Sibu Jaya Sabtu lalu. [Link]

Siasatan awal polis mendapati kanak-kanak itu keluar dari rumah ibu angkatnya, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan.

Sebelum ini kanak-kanak itu ditempatkan di Hospital Sibu untuk pemeriksaan kesihatan dan fizikal.

Mereka didapati berada dalam keadaan baik dan sangat aktif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:37 PM