HIASAN menarik dan seakan-akan ‘hidup’ memberi keterujaan kepada pengunjung.
BAHTERA Merdeka menceritakan sejarah Melaka.
PERTUNJUKAN menggabungkan efek khas, visual, muzik dan lakonan pentas.
5D Pirate Adventure dibuka kepada pengunjung setiap hari bermula jam 10 pagi.
5D Pirate Adventure memberi pengalaman ‘sebenar’ dunia lanun.
IDRIS (tiga dari kanan) turut merasai pengalaman pengembaraan 5D Pirate Adventure.
BINAAN ‘kapal’ menjadikan tarikan Melaka Alive unik dan berbeza.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my


Mahu menerokai pengembaraan dan menyelami kehidupan lanun yang penuh dengan debaran?

‘5D Pirate Adventure’ mungkin pilihan terbaik kerana ia menggabungkan elemen teater dan pengembaraan yang tentunya memberi pengalaman baru kepada anda.

Pertunjukan itu yang bermula awal September lalu di Melaka Alive turut membabitkan penyertaan penonton yang penuh dengan elemen kejutan.

Penulis berkesempatan merasai pengalaman menyertai pengembaraan lanun ketika menyertai rombongan media melawat Melaka Alive di Jalan Parameswara.

Pengembaraan bermula apabila rombongan dibawa masuk dalam satu barisan dan berjalan dari satu hentian ke hentian lain yang setiap satunya memberi kejutan dan menampilkan hiasan menarik.

Hiasan dan barangan yang diletakkan di setiap hentian kelihatan ‘hidup’ dengan seorang ‘lanun’ bertindak selaku pemandu pelancong yang membawa rombongan meneroka hentian terbabit. Pengunjung juga dibenar merakam gambar dengan memakai kostum lanun.

Di penghujung pengembaraan, pengunjung berpeluang menonton tayangan video dengan menyediakan efek khas bunyi dan lampu bagi menambah keterujaan.

Pengunjung juga boleh membeli cenderamata dan barangan rasmi 5D Pirate Adventure di kedai selepas tamat pengembaraan.

Pengurus Besar Nuevo Attraction & Destination Sdn Bhd Kenny Ong berkata, tarikan terbaru itu memberi sisi berbeza berbanding pertunjukan Bahtera Merdeka yang juga diadakan di Melaka Alive kerana ia tidak menyentuh soal sejarah.

Katanya, 5D Pirate Adventure mengajak pengunjung mengambil bahagian dalam pengembaraan dengan berjalan mengelilingi lubuk ‘lanun’.

“Kami menggunakan konsep lanun kerana ia menyeronokkan. Idea ini muncul ketika kami berbincang untuk menyediakan tarikan pada waktu siang kerana persembahan Bahtera Merdeka hanya diadakan pada sebelah malam.

“Pada sebelah malam, pengunjung dapat menonton pertunjukan Bahtera Merdeka di atas kapal dan kini mereka boleh mengembara ke dunia kehidupan lanun pada waktu siang,” katanya.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron yang merasmikan pertujukan itu berkata, 5D Pirate Adventure unik dan segar selain memberi nilai tambah kepada produk pelancongan di Melaka.

“5D Pirate Adventure berada di lokasi strategik menjadikannya satu tarikan yang mesti dikunjungi kerana ia memberi pengalaman tambahan kerana lebih banyak aktiviti dapat dilakukan apabila pelancong berkunjung ke sini,” katanya lagi.

Pertunjukan 5D Pirate Adventure beroperasi setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 7 malam (kecuali Jumaat, Sabtu dan Ahad hingga 9.30 malam) manakala Bahtera Merdeka dari Khamis hingga Ahad dan setiap cuti umum (dua pertunjukan pada jam 7.30 malam dan 9 malam).

Ia aktiviti sesuai untuk seisi keluarga dan semua lapisan masyarakat.

Lokasi Melaka Alive yang strategik menjadikan ia mudah dikunjungi walaupun sedikit tersorok kerana binaannya berbentuk bahtera dan terletak bersebelahan Dahtaran Pahlawan dan berhadapan Kota A’ Famosa.

Bahtera Merdeka menampilkan pementasan istimewa dan unik mengenai sejarah Melaka.

Bermula dengan kisah Panglima Awang di atas pentas yang susun aturnya seakan-akan berada di atas kapal yang sedang belayar, ia membuatkan penonton teruja kerana menggabungkan efek khas, visual, muzik dan lakonan pentas.

Pementasan Bahtera Merdeka menceritakan mengenai sejarah Melaka bermula daripada kedatangan Parameswara sehingga kejatuhannya di tangan Portugis.

Antara babak menjadi kekuatan kepada pertunjukan pentas itu ialah kisah legenda Sang Kancil mengalahkan anjing, kedatangan Laksamana Cheng Ho, Alfonso de Albuquerque dan Lopez de Sequeira.

Orang ramai yang ingin mempelajari sejarah negeri Melaka dengan cara yang berbeza dan menyeronokkan, menonton Bahtera Merdeka tentunya satu kemestian.

Orang ramai boleh mendapatkan tiket Bahtera Merdeka dan 5D Pirate Adventure melalui laman web www.melakaalive.com.my atau dari kaunter tiket Melaka Alive.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2015 @ 10:04 AM