ULAMA Sunni Lubnan mengadakan tunjuk perasaan di depan kedutaan Russia di Beirut semalam kerana membantah campur tangan negara itu di Syria, semalam.
AFP

Ankara: Perdana Menteri Turki Ahmet Davutoglu semalam memberi amaran kepada Amerika Syarikat dan Russia berhubung sokongan tentera dan politik untuk pasukan militan Kurdis yang memerangi Negara Islam (IS) di Syria.

Turki sebelum ini memanggil duta kedua-dua negara kuasa besar itu untuk memberi amaran mengenai tindakan membekalkan senjata dan sokongan kepada pasukan Kurdis berkenaan.

“Pendirian kami cukup jelas. Kami sudah menyampaikannya kepada Amerika Syarikat dan Russia.

“Turki tidak boleh menerima sebarang kerjasama dengan pertubuhan pengganas yang memerangi kami,” kata Ahmet dalam kenyataan menerusi televisyen

“Seorang pegawai kementerian luar memberitahu wartawan, duta Amerika Syarikat dan Russia dipanggil ke kementerian itu untuk dimaklumkan mengenai pandangan Turki berhubung Parti Perpaduan Demokratik (PYD), parti utama Kurdis di Syria.

“Amaran disampaikan menerusi duta kedua-dua negara itu,” kata pegawai berkenaan.

Turki menganggap PYD cabang Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang melancarkan kempen berdarah di Turki sejak 1984.

Tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat membekalkan senjata kepada PYD di utara Syria sebagai cara menyokong kumpulan yang menentang IS.

Russia pula campur tangan di Syria dengan melancarkan serangan udara bagi menyokong rejim Presiden Bashar al-Assad.

Seorang pegawai kanan negara itu mengadakan rundingan dengan pemimpin kanan PYD Salih Muslim mengenai peperangan terhadap IS.

PYD menguasai sebahagian besar kawasan di utara Syria yang bersempadan dengan Turki.

Turki kini terbabit dalam dua peperangan menentang keganasan, dengan IS dan juga PKK, walaupun serangan udara kini banyak tertumpu di pangkalan militan Kurdis di utara Iraq.

Ahmet berkata, ada kerjasama antara PKK dan PYD.

“Ada anggota PKK yang pergi ke Syria untuk membantu PYD di sana.

“Sama seperti Amerika Syarikat dan negara lain memerangi kumpulan yang ada hubungan dengan al-Qaeda, kami juga memerangi PKK dan sekutunya.”

Menurutnya, Turki tidak boleh bertolak ansur dengan sokongan senjata yang diberikan kepada PKK dan sekutunya.

“Tidak siapa boleh memberi jaminan senjata yang dibekalkan kepada kumpulan Kurdis Syria tidak akan berakhir di Turki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2015 @ 8:25 AM