RAMSEY (dua kanan) ledak gol pertama Wales.

Cardiff, Wales: Aaron Ramsey dan Gareth Bale (gambar) menjaringkan gol sekali gus membolehkan Wales meraikan kejayaan layak ke pusingan akhir Euro 2016 dengan menewaskan pasukan kerdil Andorra 2-0 di Cardiff pada aksi terakhir peringkat kumpulan, awal pagi semalam.

Wales layak ke pusingan akhir kejohanan utama buat kali pertama dalam tempoh 57 tahun dan walaupun tewas 2-0 kepada Bosnia-Herzegovina tetapi kemenangan 2-1 Cyprus ke atas Israel membolehkan mereka menamatkan cabaran dalam kelompok dua pasukan terbaik Kumpulan B.

Gol babak kedua yang dihasilkan Ramsey dan Bale – jaringan ketujuhnya pada kempen kali ini – membolehkan penyokong tuan rumah bergembira dan berpesta di sekitar Stadium Cardiff City dan memastikan skuad kendalian Chris Coleman menamatkan kempen dengan nota kemenangan.

“Mereka dilabel sebagai generasi emas sebelum mereka mencapai apa-apa. Kini mereka berhak menerima gelaran itu,” kata Coleman.

“Mereka berhak menerima pujian. Mereka bermain sebagai satu pasukan dan bekerja keras di padang walaupun mengharungi pelbagai situasi serta cabaran. Pemain saya mengulangi pencapaian positif seperti yang dilakukan sebelum ini.”

Kemenangan 3-1 Belgium ke atas Israel menghalang Wales daripada menghuni tangga teratas kumpulan tetapi selepas lebih setengah abad tidak beraksi di peringkat antarabangsa, tidak ramai yang mempedulikan kedudukan mereka ketika ini.

Bintang Real Madrid, Bale akan melakukan tugas yang tidak pernah berjaya disempurnakan bekas rakan sepasukan, Ryan Giggs apabila dia mengetuai pemain lain untuk bersaing di Perancis tahun depan dan ia kejohanan utama pertama Wales sejak Piala Dunia 1958.

“Kami berusaha keras sejak bertahun-tahun lalu dan inilah hasilnya,” kata Bale.

“Masa untuk kami menikmati kejayaan ini sudah tiba tapi sebaik aksi di Perancis bermula nanti, kami perlu menumpukan perhatian untuk mencipta sesuatu.

“Ia sesuatu yang istimewa. Peminat, apa yang boleh saya katakan? Kami mempunyai kelompok penyokong terbaik di dunia. Kami perlu berterima kasih kepada jurulatih dan semua yang terbabit. Kami tidak sabar untuk kembali beraksi.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2015 @ 8:10 AM