PEMENANG Larian 10 kilometer UIAM kampus Kuantan bersama hadiah masing-masing.
Oleh Mohd Rafi Mamat
sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Pengalaman di peringkat antarabangsa menjadi kelebihan kepada David Kidsang yang mencatat masa 34 minit 13 saat untuk muncul juara kategori terbuka lelaki pada Larian 10 kilometer Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan, baru-baru ini.

Pertandingan diadakan sempena Hari Terbuka UIAM itu disertai lebih 800 peserta tempatan dan luar negara serta membabitkan empat kategori iaitu terbuka dan veteran (lelaki dan wanita).

Tempat kedua kategori terbuka lelaki dimenangi K Thinniesh yang mencatat masa 38 minit 08 saat dan ketiga milik Cheong Yew Liam yang mencatat masa 41 minit 07 saat.

Juara kategori terbuka wanita milik peserta semakin meningkat Syarlina Syazliza Saad yang mencatat masa 1 jam 2 minit 19 saat, naib johan Foong Yan Hwa (1’03:27) manakala ketiga Lai Yoke Sen (1’05:47).

Acara veteran wanita diungguli Norul Ashikin Mohd Salim (1’53) manakala bagi kategori veteran lelaki johan milik Mazarul Arif Osman, naib johan Bakli Dul dan ketiga Norzali Ali. Pemenang menerima hadiah wang tunai dan pingat.

Majlis pelepasan peserta dilakukan Timbalan Pengarah Kampus (Hal Ehwal Pelajar) Prof Madya Dr Nik Mazlan Mamat.

Sempena Hari Terbuka UIAM kampus Kuantan turut diadakan pertandingan futsal selain pelbagai aktiviti pameran, pemeriksaan kesihatan dan jualan.

Dr Nik Mazlan berkata, sambutan pada pertandingan larian 10 km kali ini begitu menggalakkan daripada peserta tempatan terutama membabitkan beberapa peserta berpengalaman yang sebelum ini melakar banyak kejayaan.

Katanya, penyertaan peserta antarabangsa dalam kategori terbuka lelaki tidak mematahkan semangat peserta tempatan untuk bersaing walaupun mereka mengetahui peluang untuk muncul juara begitu tipis.

“Saya tertarik melihat prestasi membanggakan dipamerkan David yang muncul juara kategori terbuka lelaki, hanya dalam masa 34 minit dia berjaya menamatkan larian sejauh 10km dan itu adalah catatan terbaik pertandingan.

“Kami bercadang untuk mengadakan acara larian lebih mencabar dengan menawarkan hadiah lebih lumayan pada masa akan datang dalam usaha menarik lebih ramai peserta seterusnya dapat memperkenalkan UIAM kampus Kuantan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2015 @ 8:08 AM