GABUNGAN artis popular dan Ramona (bertudung) pada sidang media konsert Selembar Kasih UiTM.
Oleh Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Tanggal 29 Oktober ini akan berlangsung Konsert Selembar Kasih dan Majlis Makan Malam Amal Fakulti Muzik, Universiti Teknologi MARA (UiTM), jam 8 malam di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM, Shah Alam.

Lebih bermakna, konsert dengan kerjasama Persatuan Alumni Fakulti Muzik UiTM ini bukan sekadar konsert sebaliknya mempunyai misi mulia iaitu mengumpul dana untuk pembelian peralatan teknikal dan alat muzik dewan konsert serta ruang baru Fakulti Muzik di kampus UiTM Puncak Alam, Selangor yang mencecah kos RM30 juta.

Selain itu dana turut diperlukan bagi program pertukaran pelajar muzik UiTM di universiti/konservatori muzik terkemuka di luar negara. Tidak lengkap penganjuran konsert amal tanpa kehadiran barisan artis popular tanah air untuk menyemarakkan lagi acara ini.

Antaranya, raja pop Datuk Jamal Abdillah, Dayang Nurfaizah, Syafinaz Selamat, Asmidar dan Ana Syuhada (Mentor).

Ketika ditemui, Jamal mengakui dia juga menjanjikan kelainan pada persembahannya nanti.

“Apa yang saya janjikan ia bukan konsert yang biasa dijayakan sebelum ini. Sebaliknya kali ini saya diiringi Orkestra Simfoni UiTM apabila penuntut Fakulti Muzik UiTM sebelum ini pernah mengiringi siri konsert saya di Istana Budaya.

“Saya ingin mencabar kemampuan barisan pemuzik fakulti muzik UiTM ini untuk mengiringi persembahan saya di pentas Konsert Selembar Kasih pula,” katanya.

Jamal ditemui pada sidang media kedua Konsert Selembar Kasih yang berlangsung di Fakulti Muzik UiTM di Seksyen 17, Shah Alam, baru-baru ini.

Hadir sama, Dekan Fakulti Muzik UiTM, Profesor Dr Ramona Mohd Tahir. Konsert ini bakal dihadiri Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Bercerita lanjut konsep persembahannya nanti, sudah pasti Jamal tidak akan menghampakan peminatnya.

“Sesi latihan sudah dimulakan dengan pemuzik minggu ini. Pemilihan lagu juga menepati cita rasa peminat dan sesuai untuk konsert amal ini iaitu rangkaian sembilan lagu popular termasuk tiga lagu secara medley dan satu solo.

“Antaranya, Aku Penghiburmu, Kau Lupa Janji, Derita Cinta, Ghazal Asmara, Ghazal Untuk Rabiah dan Samrah Mentari,” katanya.

Konsert turut tonjol bakat pensyarah, pelajar dan kakitangan

Selain artis popular, acara itu turut menonjolkan bakat pensyarah, pelajar dan kakitangan Fakulti Muzik UiTM sendiri. Antaranya, pensyarah Fakulti Muzik, Profesor Madya Khairil Johari Johar, Kamrulbahri dan Max Riefer.

Pelajar Fakulti Muzik UiTM juga terbabit sebagai ahli orkestra dan ensemble termasuk Khairul Aziem yang akan bermain violin solo, Maznorzairi dengan lagu komposisi dan Rosemary yang juga penyanyi utama kumpulan keroncong kontemporari.

Antara tarikan lain ialah kumpulan jazz yang dibimbing pensyarah Patrick Terbrack dengan per­sembahan lagu jazz baru dan lama.

Ditanya mengenai penjualan meja pula, kata Ramona setakat ini, ia sudah terjual sebanyak 60 peratus.

“Kami menyeru pihak korporat terutama alumni UiTM supaya tampil ke depan untuk membeli meja seterusnya membantu untuk mengumpul dana sekali gus mencapai objektif penganjuran majlis amal ini,” katanya.

Penjualan meja yang memuatkan 10 tetamu iaitu Meja Diamond berharga RM200,000, Meja Ruby (RM100,000), Meja Sapphire (RM50,000), Meja Topaz (RM20,000), Meja Emerald (RM10,000) dan Meja Amber (RM5,000).

Manakala mereka yang hanya ingin menikmati persembahan, tiket dijual pada harga RM100. Maklumat lanjut, tempahan meja dan pembelian tiket boleh menghubungi pejabat Fakulti Muzik UiTM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2015 @ 7:36 AM