HARAP single diterima ramai.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


Bakat penyanyi baru sering mendapat perhatian di laman sosial sekarang dan tidak hairanlah ramai yang berasakan mereka berbakat mencari peluang dengan melakukan perkara sedemikian.

Namun berbeza dengan pasangan yang menggelar diri mereka Herda & Syira, niat asal memuat naik video nyanyian bersama di YouTube sekadar untuk tontonan keluarga, tetapi rezeki mereka apabila ia mendapat perhatian daripada syarikat rakaman NSR.

Pasangan duo yang dianggotai oleh suami isteri, Herda Banu Prasetiawan dan Norinsyira Muhamad itu tidak menyangka lagu mereka Kalau Cinta Jangan Marah ‘membuka mata’ syarikat itu untuk me–ngambil mereka menjadi artis rakaman.

Herda yang berasal dari Jakarta, Indonesia mula mencipta nama sebagai penyanyi di Malaysia dengan menyanyi di kelab terkenal antaranya Hard Rock Cafe. Manakala Syira yang sebelum ini aktif berlakon memperlahankan aktiviti seni sejak melahirkan cahaya mata sulung mula memberi fokus kepada nyanyian.

“Saya dan Syira menyanyi sekadar suka-suka. Disebabkan saya suka menggubah lagu dan Syira suka menyanyi, tidak sangka lagu Kalau Cinta Jangan Marah menjadi single pertama kami.

“Lagu itu ciptaan saya dan seorang teman, Tito manakala liriknya ditulis Syira sendiri. Lagu berkonsepkan pop itu kami hasilkan sebagai berkongsi kasih sayang dengan semua. Ia sesuai untuk sesiapa saja yang sedang berkasih sayang terutama pasangan suami isteri,” kata Herda.

Ujarnya lagi, sekiranya single itu mendapat sambutan dia dan Syira sudah siap sedia dengan single kedua.

“Ada banyak lagu yang saya hasilkan dan jika single pertama ini berjaya kami tiada masalah untuk tampil dengan single berikutnya. Apa yang penting kami dapat berkongsi muzik dengan semua orang,” katanya.

Begitu juga dengan Syira, dia yang sebelum ini pernah berlakon tidak hairan jika kini bergelar seorang penyanyi. Ini kerana, sebelum membabitkan diri dalam lakonan, dia juga selalu menyertai pertandingan nyanyian.

“Kami tidak terfikir mahu jadi artis, tetapi jika rezeki sudah tertulis begitu, kami akur saja dan apa salahnya mencuba,” kata Syira.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2015 @ 7:11 AM