Anggota penyelamat masih meneruskan usaha mencari baki murid Orang Asli yang hilang di Gua Musang. - Foto NSTP (Fail).

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan akan menyiasat dakwaan berlaku kelewatan membuat laporan berhubung kehilangan tujuh murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Pos Tohoi, Gua Musang, dari asrama sekolah mereka.

Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan berkata, kementeriannya akan menyiasat sama ada benar dakwaan itu yang dibuat oleh ibu bapa murid terhadap guru dan sekolah.

"Kita pasti tidak akan teragak-agak ambil tindakan jika dakwaan ini benar," katanya sini hari ini, apabila diminta mengulas laporan sebuah portal.

Portal itu melaporkan ibu bapa murid berkenaan hanya mengetahui mengenai kehilangan anak mereka daripada pengawal keselamatan sekolah dan cakap-cakap dalam kalangan penduduk Orang Asli.

Ia juga menyebut hanya selepas ibu bapa menyemak perkara itu dengan pihak asrama, barulah mengetahui tentang kehilangan anak mereka.

Tujuh murid itu melarikan diri dari asrama sekolah mereka pada 23 Ogos lalu kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas dikatakan mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran.

Dua daripada mereka ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat Jumaat lalu, selepas 48 hari hilang manakala dua lagi disahkan meninggal dunia dan seorang lagi masih hilang. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 8:08 PM