AB Rahaman (belakang, tengah) bergambar bersama Mohamad Azri (depan kanan).
Oleh Nazri Abu Bakar
sukan@hmetro.com.my

Melaka: Aksi mantap peserta Kelab Muaythai Kala Merah Melaka, Mohd Azri Nazman membolehkannya muncul juara Piala Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, baru-baru ini.

Beraksi sempena Kejohanan Muaythai Melaka: The Straits of Warriors di Kompleks Komuniti Hang Jebat, Paya Rumput, anak kelahiran Besut, Terengganu itu bijak melakukan serangan dan bertahan ketika mengasak pencabarnya, Nuruzman Firdaus dari Anak Kuda Merah Pahang bagi membolehkannya dinobat sebagai juara.

Lebih manis buat kontinjen Muaythai Kala Merah, dua pesertanya Mohd Firdaus Ibrahim (kategori 45kg) dan Mohmad Hanizar (Pro A Dewasa) memenangi kategori masing-masing.

Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Datuk Ab Rahaman Karim yang mewakili Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Ismail Abdol Jalil dan Presiden Muaythai Kala Merah Negeri Melaka, Rosli Md Nor.

Ab Rahaman berkata, kejohanan anjuran Muaythai Kala Merah Melaka dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Majlis Sukan Negeri Melaka dan kerajaan negeri disertai 50 peserta amatur dan profesional.

“Penyertaan membabitkan atlet terbaik dari sembilan negeri termasuk Sabah dan Johor yang mewakili beberapa kelab, menjadikan penganjuran ini sebagai antara kejohanan menarik di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 8:30 AM