MD Ismail (kanan) berbincang dengan Mohd Nur Asnawi mengenai tempat penginapan peserta.
Oleh Norfaisal Jahuri
sukan@hmetro.com.my

Jasin, Melaka: Peserta Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 pada 28 dan 29 November ini tidak perlu gusar mendapatkan penginapan selepas Kem Lagenda Gunung Ledang, Asahan, mengadakan kerjasama dengan penganjur bagi menyediakan kemudahan penginapan di asrama.

Dengan menawarkan harga serendah RM10 semalam untuk seorang, peserta boleh bermalam di penginapan paling dekat dengan Kompleks Saujana di Asahan yang menjadi venue bagi kejohanan MTB itu.

Setakat ini kem terbabit menawarkan tempat penginapan paling hampir berbanding lokasi lain yang terletak 25 kilometer dari bandar Jasin dan 65km ke pusat bandar raya.

Pengurus Kem PLKN Gunung Ledang Md Ismail Dayat berkata, pihaknya menyediakan sebanyak 16 blok asrama yang boleh menempatkan seramai 30 peserta bagi setiap blok.

Katanya, secara keseluruhan kem itu boleh menampung seramai 300 peserta untuk bermalam di asrama lelaki dan wanita.

“Tempat kami lengkap dengan kemudahan bilik air, surau, bilik rehat, dewan terbuka dan makan. Padang kawad pula mampu menjadi tempat letak kereta hingga 100 kenderaan pada satu masa,” katanya semalam.

Hadir sama, Ketua Biro Harian Metro Melaka Mohd Nur Asnawi Daud.

Md Ismail berkata, blok asrama mereka juga menempatkan katil individu yang dilengkapi dengan ‘locker’.

Asrama juga luas dan peserta boleh membawa basikal mereka ke tempat penginapan.

“Lokasi kami juga selamat dengan berpagar dan berpengawal di bahagian pintu masuk,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga ada menyediakan kemudahan makanan tetapi ia hanya boleh dilakukan berdasarkan tempahan dengan menu yang sama secara bufet.

“Kami tidak menawarkan jualan makanan secara ala-carte kerana pengendali makanan menjalankan perniagaan secara katering dan bergantung kepada jumlah tempahan mengikut individu,” katanya.

Menurutnya untuk keterangan lanjut mengenai penginapan boleh menghubungi talian 06-5237643.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:18 AM