Selamat Omar, bapa penumpang pesawat MH370, Mohd Khairul Amri Selamat. - Foto NSTP (Fail)

Kuantan: “Jangan sebar berita palsu penemuan bangkai pesawat MH370 kalau tidak sahih kerana ia menyinggung perasaan waris," demikian reaksi Selamat Omar, bapa kepada seorang penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dilaporkan hilang sejak 8 Mac tahun lalu.

Selamat, 60, atau lebih mesra dengan panggilan Pak Selamat di kalangan media berkata, beliau mengetahui berita yang mendakwa penemuan bangkai pesawat itu di selatan Filipina pada Sabtu lalu, sebaik ia tersebar di media sosial.

"Sebaik melayari internet dan membaca berita kononnya penemuan bangkai pesawat tersebut di Hutan Pulau Sugbay, Tawi-Tawi di Filipina, saya tidak yakin dan dapat rasakan ia tidak benar.

"Ini kerana jaraknya terlalu jauh dari lingkungan operasi mencari menyelamat yang dilakukan sebelum ini," kata bapa kepada penumpang Mohd Khairul Azmi itu.

Pencarian pesawat itu sebelum ini tertumpu di selatan Lautan Hindi yang penerbangan itu dipercayai berakhir.

Sabtu lalu, seorang lelaki bernama Jamil Omar membuat laporan di Balai Polis Sandakan mendakwa ibu saudaranya menemui bangkai pesawat di hutan Pulau Sugbay, Tawi-Tawi di Filipina awal September lalu.

Dalam laporan itu, lelaki berkenaan turut mendakwa wanita itu menemui banyak rangka manusia dalam pesawat terbabit selain menjumpai sehelai bendera Malaysia berukuran 178sm panjang dan 89sm lebar.

Bagaimanapun semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan tiada bangkai pesawat MH370 ditemui di selatan Filipina dan disahkan pihak berkuasa Filipina. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 7:31 PM