MUSTAPA (tengah) bersama Dr Mohamed Al Amin (dua dari kiri) dan Tajuddin (dua dari kanan) pada Seminar Tawaran Awam Awal di Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: SME Corporation Malaysia (SME Corp) berharap kertas cadangan yang dikemukakan mengenai hala tuju perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa akan mendapat perhatian Kementerian Kewangan khususnya sempena pembentangan Bajet 2016 minggu depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Hafsah Hashim berkata, pihaknya sudah menghantar kertas cadangan kepada kementerian dan meletakkan harapan agar ia dapat membantu usahawan PKS.

“Kami sudah menghantar beberapa cadangan kepada Kementerian Kewangan dan ia antara lain membabitkan usaha untuk membantu syarikat PKS menghadapi cabaran dalam keadaan ekonomi semasa.

“Ia juga turut meliputi bagaimana kerajaan dapat membantu syarikat ini untuk meluaskan operasi ke pasaran eksport,” katanya selepas pelancaran Seminar tawaran Awam Awal (IPO) di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Pengerusi SME Corporation Malaysia (SME Corp) Datuk Dr Mohamed Al-Amin Majid dan Ketua Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Tajuddin Atan.

Dalam seminar berkenaan, 150 peserta mewakili pelbagai syarikat PKS menyertai sesi yang dianjurkan. Objektif utama program diadakan adalah bagi memberi pendedahan kepada syarikat PKS untuk menyiapkan diri sebelum layak menyertai Bursa Malaysia.

Syarikat yang pernah memenangi E50 Award Programme anjuran SME Corp adalah antara yang berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia di mana 46 syarikat disenaraikan di Papan Utama dan 14 di Papan ACE.

Dalam pada itu, Hafsah berkata, pihaknya tidak meletakkan sebarang jumlah sasaran untuk syarikat PKS yang berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Ada masanya kita berjaya membantu sehingga lima syarikat untuk ke disenaraikan, namun ada kalanya hanya setakat dua hingga tiga syarikat.

“Dalam keadaan ekonomi semasa, kami lebih banyak memberi bantuan kepada PKS untuk lebih bersedia menghadapi pelbagai cabaran memandangkan persediaan untuk melangkah ke penyenaraian mengambil masa sehingga 12 bulan. Dengan persediaan awal, mereka boleh mula disenaraikan pada 2017,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 6:52 AM