Amsterdam: Belanda yang tersingkir menerusi penentuan penalti pada separuh akhir Piala Dunia 2014, kini berdepan kemungkinan terlepas aksi Kejohanan Eropah buat kali pertama sejak 1984.

Memenangi kejuaraan tunggal mereka pada 1988, apabila Marco van Basten dan Ruud Gullit mengemudi kemenangan sebenua ke atas Russia di Jerman, kejatuhan mereka daripada kegemilangan menjadi misteri ketika kini mereka berada di ambang penyingkiran daripada Euro 2016.

Layak ke separuh akhir Euro 2000 dan 2004, suku akhir pada 2008, mereka hanya tewas menerusi gol masa tambahan Andres Iniesta pada final Piala Dunia 2010 di tangan Sepanyol, sebelum layak ke separuh akhir di Brazil pada musim panas tahun lalu yang mana mereka dinafikan oleh Argentina apabila seri 0-0 selepas 120 minit di Sao Paulo.

Guus Hiddink diberi kepercayaan mengemudi mereka pada kelayakan bagi merebut 24 tempat ke pusingan akhir di Perancis dalam format yang dilihat sekadar satu formaliti bagi kuasa besar bola sepak Eropah.

Namun dua kekalahan dalam tiga perlawanan awal mereka di tangan Republik Czech dan Iceland menyukarkan tugas mereka dan rekod empat menang, empat kalah dan sekali seri meninggalkan Belanda dua mata di belakang Turki dengan berbaki satu perlawanan.

Turki menanti kunjungan Iceland untuk mengetuk pintu play-off manakala Belanda mesti menundukkan Czech di Amsterdam bagi menghidupkan peluang tipis mereka.

“Seluruh pusingan kelayakan ini amat sukar. Kini kami tidak lagi menguasai. Saya berasa amat teruk, terlalu menyedihkan,” kata bintang serangan Robin van Persie (gambar) selepas pasukan itu tewas 0-3 kepada Turki bulan lalu.

Danny Blind menggantikan Hiddink namun Republik Czech sudah terjamin tempat mereka ke Perancis, di samping Iceland manakala Turki berpeluang besar merebut tempat ke play-off.

Hanya jika Belanda menang dan Turki kalah boleh menyelamatkan kempen mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 6:25 AM