NICOL menang dua gelaran tahun ini.

Kuala Lumpur: Ratu skuasy negara yang juga pemain nombor dua dunia, Datuk Nicol David membuka kempen mempertahankan gelaran kejohanan skuasy Terbuka Amerika dengan kemenangan straight set untuk mara ke pusingan kedua.

Dalam perlawanan pembukaan awal pagi tadi, Nicol yang diletakkan pilihan kedua, mudah menjinakkan pemain Hong Kong Joey Chan 11-6, 11-9, 11-8.

Nicol yang memburu gelaran ketiganya musim ini akan berdepan pilihan ke-12, Nouran Gohar dari Mesir pada pusingan kedua nanti.

Nouran yang juga juara remaja dunia mara ke pusingan kedua selepas menyingkirkan rakan senegaranya, Kazy Emad El Defrawy 11-5, 11-6, 11-7.

Untuk rekod, Nicol sudah memenangi dua gelaran tahun ini iaitu Cleveland Classic di Ohio, Amerika Syarikat pada Februari dan Kejohanan Wanita Asia di Kuwait, Mei lalu.

Pemain nombor dua negara, Delia Arnold yang menewaskan Nicolette Fernandes dari Guyana dalam perlawanan pertamanya kelmarin, berdepan tugas berat apabila menantinya di pusingan kedua ialah pemain nombor empat dunia, Camille Serme dari Perancis.

Malaysia tidak mempunyai wakil lelaki selepas Mohd Nafiizwan Adnan tewas 9-11, 3-11, 7-11 kepada pilihan kelima yang juga juara dunia tiga kali, Ramy Ashour dari Mesir kelmarin. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 6:03 AM