Senai-Desaru Expressway Berhad mengumumkan kenaikan kadar tol Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) 80 sen sehingga RM4.70 berkuatkuasa Khamis ini. - Foto IHSAN SENAI DESARU EXPRESSWAY

Kuala Lumpur: Kerajaan diminta menangguhkan sementara kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya serta mengkaji semula kewajaran langkah itu memandangkan situasi ekonomi semasa yang mencabar bagi pengguna.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr Maamor Osman berkata kenaikan kadar tol itu perlu ditangguhkan kerana keadaan sekarang sangat tidak sesuai berikutan pengguna baru berdepan kenaikan harga petrol.

Dalam keadaan ekonomi sekarang, menurutnya walau sekecil manapun kenaikan, memberi kesan psikologi cukup besar kepada pengguna selain tidak menolak kemungkinan boleh menyebabkan kenaikan harga barang keperluan.

"Sudah semestinya berita itu tidak menggembirakan terutamanya kepada mereka yang terpaksa menggunakan laluan tol untuk ke tempat kerja kerana tiada pilihan lain," katanya.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk N Marimuthu berkata kerajaan perlu mengkaji justifikasi kenaikan itu kerana ia tidak menjamin lebuh raya diselenggara dengan baik dan tidak berlaku kesesakan.

“Kita harap ia dapat ditangguhkan kerana kenaikan harga petrol serta kejatuhan nilai ringgit baru-baru ini, memberi cabaran kepada pengguna bukan sahaja yang berpendapatan rendah tetapi juga golongan pertengahan," katanya.

Setakat 9 malam, syarikat konsesi lebuh raya termasuk sembilan di Lembah Klang mengumumkan kenaikan kadar tol antara 10 sen hingga RM4.70 berkuat kuasa Khamis ini iaitu Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kajang-SILK, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE).

Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor (Perpekli) Datuk Aslah Abdullah berkata pengusaha teksi dilihat tidak terjejas dengan kenaikan itu, sebaliknya akan membebankan penumpang kerana tol dibayar mereka.

Beliau berkata situasi itu tidak mengurangkan bilangan penumpang teksi kerana kenaikan kadar tol untuk teksi tidak terlalu tinggi.

Kenaikan kadar tol untuk teksi adalah antara 20 dan 50 sen. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2015 @ 9:46 PM