PROGRAM English Village di Dewan INTEC, Fakulti Pendidikan UiTM, Seksyen 17, Shah Alam.
SELAIN memperkasa bahasa Inggeris, pelajar turut mengembangkan sudut kreatif dengan menyertai aktiviti drama mini.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my

Bagi memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Cyberjaya (SK Cyberjaya) menganjurkan English Village pada 12 September lalu.

English Village hasil daripada projek perintis bagi program ‘Fostering English Environment Learning’ (FEEL)­ SK Cyberjaya yang dilancarkan untuk menerajui inisiatif dalam menyokong setiap aktiviti atau projek Sekolah Kluster Kecemerlangan membabitkan kebitaraan Bahasa Inggeris.

Program itu antara lain bertujuan menjana perkongsian idea dan pendapat pelajar dari pelbagai latar belakang selain menambah kemahiran dan menanamkan sifat profesionalisme dalam kalangan pendidik.

Sebanyak 18 sekolah kluster dan sekolah antarabangsa terpilih menyertai program itu, antaranya Sekolah Kebangsaan Taman Nirwana, Sekolah Kebangsaan Saujana Impian, Sekolah Kebangsaan Subang Jaya, Sekolah Kebangsaan Convent Bukit Nanas, Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2), Sekolah Kebangsaan Tunku Besar Tampin, Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Simpang Lima, Sekolah Kebangsaan Puteri dan Sekolah Kebangsaan Convent Kajang.

Setiap sekolah menghantar 20 pelajar untuk untuk ‘berkampung’ di Fakulti Pendidikan UiTM, Seksyen 17 Shah Alam sepanjang program itu.

Semua peserta terbabit dalam aktiviti seperti pengucapan awam, drama mini, debat mini dan Higher Order Thinking Skills (HOTS) Online Quiz.

Aktiviti berkenaan bukan sekadar bertujuan menaik taraf tahap intelektual pelajar terutama dalam memantapkan penggunaan bahasa Inggeris, malah pada masa sama menggalakkan aspek kreatif minda seperti berlakon dan berdebat.

Program disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan.

Dalam ucapan perasmiannya, Kamalanathan berkata, Kementerian Pendidikan berbangga dengan kerjasama UiTM dan SK Cyberjaya untuk mempromosi dan mempertingkatkan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

Katanya, kewujudan platform seperti itu penting bagi membantu pelajar mengasah pengetahuan dalam bahasa Inggeris yang dianggap bahasa ‘lingua franca’ zaman moden.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2015 @ 8:19 AM