KEADAAN pesawat Singapore Airlines itu selepas kejadian.

Singapura: Sebuah pesawat milik syarikat Penerbangan Singapura rosak selepas tayar hadapannya tidak berfungsi ketika pemeriksaan rutin pada gear pendaratan semalam.

Syarikat itu dalam satu kenyataan memberitahu, pesawat berkenaan diperiksa sebelum penerbangan ke Hong Kong dan ketika kejadian tiada penumpang atau kru di dalamnya.

Katanya, gear pendaratan di muncung pesawat Airbus A330-300 itu tiba-tiba tertarik ke dalam ketika sistem gear pendaratan diperiksa jurutera.

Kejadian itu menyebabkan bahagian depan pesawat berkenaan tersembam di atas landasan.

“Ketika kejadian tiada penumpang atau kru di dalam pesawat.

“Seorang jurutera di dalam pesawat itu juga tidak cedera,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, syarikat berkenaan akan memberi kerja sama penuh pada pihak berkuasa untuk menyiasat insiden itu.

“Kerosakan pada pesawat itu akan diteliti selepas ia dibawa keluar dari landasan,” jelasnya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2015 @ 6:58 AM