POLIS Thai memeriksa keadaan sekitar balai polis di daerah Thalang, Phuket, selepas diserang penduduk.

Phuket: Rusuhan tercetus di sebuah balai polis di sini semalam sebagai membantah kejadian dua pemuda yang maut dalam satu kemalangan jalan raya ketika dikejar polis.

Jurucakap polis, Amnuay Kraiwuttinan berkata, 300 perusuh membakar kereta dan membaling batu serta bom api terhadap sebuah balai polis di sini.

Katanya, tiada pelancong asing yang cedera dalam rusuhan yang tercetus pada petang kelmarin dan berakhir pada pagi semalam.

Kejadian itu menyebabkan ramai penumpang terlepas penerbangan mereka apabila jalan utama ke lapangan terbang ditutup.

Tunjuk perasan berlaku di Balai Polis Thalang apabila sekumpulan penduduk menghalang laluan dari jam 8 malam (waktu tempatan) kelmarin hingga jam 4 pagi semalam.

Polis dan askar dikerahkan untuk menyuraikan penunjuk perasaan pada awal pagi semalam selepas mereka membakar sembilan kereta manakala 11 lagi kenderaan rosak.

Perusuh juga membaling pelbagai objek ke balai polis menyebabkan anggota polis terpaksa berlindung di dalam bangunan.

“Mereka membaling objek untuk memecahkan tingkap sebelum membaling bom api.

“Semua anggota polis berlindung di dalam bangunan dan diarahkan tidak membalas tindakan itu,” katanya.

Tambahnya, polis menyiasat kejadian dua lelaki tempatan berusia 17 dan 22 tahun yang maut dalam kemalangan jalan raya ketika dikejar polis.

Mangsa yang menunggang motosikal disyaki membawa dadah selepas enggan berhenti dalam satu sekatan jalan raya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2015 @ 6:58 AM