EDDIE, Erma dan Erra bersama penganjur Konsert Ku Mohon Tuhan Berikan Aku Cinta.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Berkongsi tarikh dengan Konsert Wings 30 Tahun di Stadium Merdeka dan Konsert Hujan 10 Tahun di KL Live tidak ‘menggentarkan’ penganjur Konsert Ku Mohon Tuhan Berikan Aku Cinta yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 31 Oktober ini.

Malah, penganjurnya, Islamic Relief Malaysia (IRM) optimis konsert yang menampilkan penyanyi hebat seperti Anuar Zain, Erra Fazira, Opick, Akim & The Majistret, Raihan, Ebiet G Ade, Humood Al Khudeer dan Zain Bikha serta pelakon Datin Umie Aida, Remy Ishak dan Ungku Ismail tetap mampu menarik kehadiran peminat.

Pengarah Negara IRM Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, tidak ada apa yang perlu dibimbang­kan kerana kelompok penonton yang hadir berbeza.

“Ia langsung tak menjadi isu besar kerana kita dapat lihat genre yang ditampilkan dalam setiap persembahan berlainan. Konsert kami lebih tertumpu kepada soal kemanusiaan dan sasaran peminat yang hadir ialah keluarga.

“Konsert Wings pula tentunya dihadiri peminat rock, manakala Hujan mempunyai pengikut mereka sendiri. Kami juga menyasarkan mereka yang hadir bertujuan nak beramal sambil berhibur,” katanya.

Konsert dengan kerjasama Mawlaya Network Sdn Bhd diadakan sempena ulang tahun ke-10 penubuhan IRM dan mereka merancang mengutip dana RM5 juta menerusi konsert ini dan tajaan bagi tujuan kebajikan.

“Ia disalurkan kepada projek utama IRM di dalam dan negara luar. Sebanyak 7,000 tiket dijual kepada orang ramai, persatuan, badan kerajaan dan korporat bagi menyaksikan konsert ini,” katanya.

Konsert yang bakal menampilkan 18 lagu ini turut memilih Erma Fatima sebagai pengarah persembahan dan Eddie Slam selaku pengarah muzik.

Dalam pada itu, Erma berkata, dia menampilkan konsep lakonan, puisi dan taridra yang disatukan dengan nyanyian berkonsep­kan lagu ketuhanan.

“Konsep ini diambil dari setiap sudut pandang termasuk kanak-kanak. Kasih sayang sememangnya berperanan besar dalam kehidupan manusia. Justeru semua elemen itu saya satukan dalam persembahan ini.

“Selain barisan artis, saya pilih pelakon yang senang untuk bekerjasama dan komited dengan konsert ini. Tiada cabaran yang besar kerana saya pernah menghasilkan persembahan sebegini. Namun ia bukan persembahan teater,” katanya.

Erma berkata, persiapan untuk persembahan dibuat sejak dua bulan lalu, manakala latihan dimulakan sejak 10 hari lalu.

“Saya diberi pilihan beberapa lagu, tapi lagu penutup mestilah kena de­ngan konsep konsert ini. Saya perlu banyak berinteraksi dengan Eddie untuk menghasilkan yang terbaik,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai tiket sila layari www.ticketpro.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2015 @ 5:11 AM