PESAWAT CL415 Bombardier milik Malaysia tiba di Palembang bagi membantu memadamkan kebakaran hutan di Sumatera.

Jakarta: Bantuan antarabangsa bagi membantu memadam kebakaran hutan di Indonesia yang menjadi punca jerebu di rantau ini mula tiba kelmarin.

Jurucakap agensi bantuan Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho berkata, sebuah pesawat pemadam api bersama sekumpulan kru tiba di Sumatera semalam.

“Mereka diberi taklimat sebelum menyertai operasi memadamkan kebakaran hutan di Sumatera Selatan,” katanya.

Kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan menyebabkan punca jerebu di rantau ini sejak lebih sebulan yang lalu.

Tahap kualiti udara yang membahayakan menyebabkan sekolah dan lapangan terbang di Malaysia serta Singapura terpaksa ditutup.

Singapura bersetuju menghantar sebuah helikopter Chinook dan pesawat Hercules C-130 yang membawa 42 anggota bomba.

Bantuan dari Singapura dijangka tiba kelmarin di Sumatera, tetapi ditangguhkan hingga semalam akibat jerebu tebal di lapangan terbang.

Jakarta mengerahkan 25,000 anggota keselamatan dan beberapa pesawat, tetapi masih bertungkus-lumus untuk memadamkan kebakaran hutan itu.

Kerajaan Indonesia sebelum ini berkeras enggan menerima bantuan dari negara asing, namun berubah fikiran selepas dikritik negara jirannya.

Australia menjadi negara terbaru mahu membantu dengan menawarkan pesawat pembawa air, Lockheed L100 Hercules miliknya.

Menteri Luar Australia, Julie Bishop berkata, Australia sedia berkongsi pengalaman memadam kebakaran belukar yang sering berlaku di negara itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2015 @ 5:05 AM