Oleh Hazsyah Abdul Rahman
am@hmetro.com.my

Kinabatangan: Lelaki ditemui mati dengan kesan tembakan di dada dalam kejadian di Kampung Usaha Jaya, Batu 3, Jalan Pengkalan Bukit Garam, dekat sini, lewat petang semalam.

Dalam kejadian 5.43 petang itu, mangsa, Salfudin Saleh, 29, ditemui terbaring berlumuran di belakang rumah oleh ibunya selepas terdengar bunyi tembakan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat, berkata sebelum kejadian mangsa sedang duduk di belakang untuk berehat manakala ibunya di depan rumah.

"Tidak lama selepas itu, ibu mangsa terdengar bunyi satu das tembakan daripada arah belakang rumah sebelum bergegas ke tempat mangsa dan mendapati anaknya berlumuran darah dan sesak nafas.

"Ibu mangsa kemudian menjerit meminta tolong daripada orang ramai sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Kinabatangan dan disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati terdapat satu kesan tembakan di bahagian tengah dada selain mengalami luka di lengan dan siku kiri.

"Tiada sebarang suspek yang dapat dikesan buat masa ini dan siasatan masih diteruskan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2015 @ 2:34 AM