Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my

Johor Bahru: Sudah tiba masa buat Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar) bersemuka dengan ahli Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendapat kepastian berhubung beberapa isu yang masih samar.

Apa yang pasti pertemuan dijadual bulan depan akan terarah kepada hak penyiaran kerana memerlukan penjelasan lebih telus daripada badan induk bola sepak negara serta badan dilantik iaitu MP & Silva sebagai rakan kerja di bawah Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).

Tunku Ismail yang juga Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) berkata, perjumpaan itu bertujuan menyerahkan kertas cadangan dalam usaha memulihkan bola sepak negara selain mahu FAM ‘dibersihkan’ daripada sebarang penyelewengan.

Katanya, perjumpaan itu akan merungkai apa jua yang tidak jelas bukan saja mengenai maklumat terperinci berkenaan hak penyiaran musim depan malah membabitkan perancangan pembangunan bola sepak negara.

“Saya akan mengadakan mesyuarat dengan pihak atasan FAM dan FMLLP untuk mendapat penjelasan terperinci daripada mereka dan ingin saya katakan bola sepak adalah hak milik rakyat. Seharusnya penyokong juga perlu tahu apa yang berlaku dalam organisasi badan induk bola sepak negara.

“Saya ada cadangan yang ingin disampaikan kepada FAM demi kebaikan bukan saja PBNJ malah membabitkan semua persatuan bola sepak dan kelab yang bersaing dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

“Hak penyiaran milik setiap pasukan yang bertanding. Sebagai contoh di Eropah, hak penyiaran adalah tulang belakang kelab bertanding yang dapat membendung gejala mengatur perlawanan.

“Hak penyiaran di Eropah mendapat 90 peratus manakala apa juga penajaan yang mereka dapat adalah bonus tapi ini tidak berlaku dalam Liga M. Apa yang mahu ditegaskan, sudah tiba masanya FAM lebih telus dan jujur berkenaan pemberian hak penyiaran itu,” kata Tunku Ismail pada sidang media di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam.

Tunku Ismail berkata, pengagihan yang dicadangkan masih lapuk dan tidak memberi keuntungan terutama hak penyiaran kepada ahli gabungan FAM apabila agihan kepada pasukan yang bertanding hanya 30 peratus iaitu RM21 juta dengan setiap pasukan hanya menerima RM1 juta.

Beliau mempersoalkan kenapa FAM diberikan sejumlah 40 peratus iaitu RM28 juta sedangkan badan induk bola sepak negara tidak perlukan agihan yang sebegitu banyak manakala FMLLP yang mengurus tadbir Liga M mendapat 20 peratus iaitu RM14 juta dan pengadil serta pembangunan peringkat akar umbi hanya 10 peratus iaitu RM7 juta daripada jumlah RM70 juta.

“FAM tidak perlu mendapat peratusan agihan yang banyak kerana keutamaan adalah kepada ahli gabungan yang terpaksa bertungkus-lumus mencari dana bagi menguruskan pasukan dan jika sekadar RM1 juta saja kemungkinan besar banyak pasukan akan menghadapi masalah kewangan.

“Ramai yang kata, saya mahukan hak penyiaran kerana Johor Darul Ta’zim sudah berbelanja besar tapi mereka tidak sedar ia untuk kebaikan semua pihak. Memandangkan tidak ada yang berani bersuara, biarlah saya mewakili mereka untuk mendapatkan hak,” kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 5:57 AM