Islamabad: Sebuah persatuan sekolah swasta Pakistan mengadakan hari ‘I am not Malala’ (Saya bukan Malala) kelmarin bagi mengecam pemenang Nobel Malala Yousafzai yang dilihat sebagai penyokong penulis kontroversi, Salman Rushdie.

Perikatan Sekolah Swasta Pakistan mendakwa biografi remaja itu, ‘I am Malala’ yang ditulis bersama wartawan Britain Christina Lamb terlalu bersimpati dengan Salman yang pernah menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia dengan bukunya ‘The Satanic Verses’ (Surah Syaitan) pada 1989.

Dalam satu kenyataan, presiden perikatan berkenaan Mirza Kashif Ali berkata Malala jelas mempunyai perhubungan dan menyokong ideologi Salman serta aktivis wanita Taslima Nasrin.

“Kami mengecam bab di dalam buku itu apabila Malala mendakwa buku Salman sebagai kebebasan menyuarakan pendapat,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengadakan seminar dan sidang media untuk menimbulkan kesedaran mengenai hari ‘I am not Malala.’

Organisasi itu tahun lalu turut melarang anggotanya membeli biografi berkenaan yang dianggap anti-Pakistan dan anti-Islam. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:03 AM
Skip this ad x