MASJID Negara. FOTO Zunnur Al Shafiq
Oleh Ainul Fatihah Mansor
am@hmetro.com.my


Putrajaya: Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1437H/2015M buat julung kalinya akan diadakan di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada Rabu depan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pemilihan lokasi itu dibuat sempena Sambutan Jubli Emas Masjid Negara, selain kedudukan masjid sebagai mercu tanda Islam.

Beliau berkata, majlis perasmian dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Tema 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara' sekali lagi dipilih pada tahun ini kerana ia amat signifikan dengan situasi semasa dan bertepatan dengan usaha kerajaan memperkasakan prinsip penerimaan; kenegaraan (patriotisme); keadilan sosial yang menjadi teras kepada pembangunan sebuah negara yang maju dan seimbang.

"Menerusi agenda ini, kita berharap rakyat terus bersatu padu, bekerjasama, saling menghormati dan menjadi nadi transformasi kepada negara," katanya pada sidang media Pra Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1437H/2015M di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 3:08 PM