EMPAT stesen LRT baru bagi laluan Ampabg akan dibuka pada akhir Oktober 2015. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Empat stesen LRT baru bagi laluan Ampang iaitu Awan Besar, Muhibbah, Alam Sutera dan Kinrara BK5 akan dibuka kepada orang ramai secara rasmi akhir bulan ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, projek fasa pertama sambungan LRT Laluan Ampang itu adalah mengikut jadual.

Beliau berkata, projek itu sudah 99.4 peratus siap dan bakinya adalah untuk pengujian terperinci tren yang sedang dibuat kini.

"Pengujian tren ini bagi memastikan operasi tren selamat dan lancar. Ia dijangka siap sepenuhnya minggu depan sebelum dibuka kepada orang ramai," katanya selepas lawatan kerja dan meninjau keempat- empat stesen berkenaan, hari ini.

Syed Hamid berkata, pihak Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) menyasarkan tambahan 40,000 penumpang bakal menggunakan pengangkutan itu.

Dalam lawatan itu, beliau bersama pengurusan tertinggi PRASARANA serta media dibawa menaiki tren dan berhenti di setiap stesen untukmembuat tinjauan.

Dalam perkembangan lain,Syed Hamid berkata, pengumuman mengenai pelarasan kadar tambang bagi LRT dan Monorel yang akan berkuat kuasa pada 31 Oktober ini akan diumumkan dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 12:49 PM