ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mangsa kemalangan, semalam. FOTO ihsan Bomba
Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris
am@hmetro.com.my


Batu Pahat: Dua lagi mangsa kemalangan di Kilometer 94.1 Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran Yong Peng, petang semalam, disahkan turut terbunuh menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang maut seramai lima orang.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kedua-dua mangsa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini, kira-kira 7 malam tadi.

Menurutnya, ia menjadikan jumlah keseluruhan yang terbunuh seramai lima orang di mana empat daripada mereka adalah warganegara China manakala seorang lagi rakyat tempatan dikenali sebagai G Gothandam berusia 46 tahun iaitu pemandu lori terbabit.

"Kesemua mayat masih dibedah siasat manakala mangsa yang cedera kini dirawat di hospital. Kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Semalam, tiga warganegara China terbunuh selepas lori tangki dari arah Johor Bahru merempuh dua bas yang sedang dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur.

Kejadian turut mengakibatkan 11 penumpang parah manakala 24 lagi dari bas berasingan terselamat.

Berita berkaitan:

Tiga pelancong China maut: http://hmtro.com/1hqpDGz

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 11:18 AM