TENTERA Israel menahan penunjuk perasaan Palestin yang cedera dalam pertempuran berhampiran penempatan Yahudi Bet El di Ramallah, Tebing Barat, semalam.
AFP

Baitulmaqdis: Keganasan terbaru kembali menggegarkan bandar ini semalam selepas dua kejadian serangan menyebabkan seorang lelaki Palestin maut ditembak polis Israel dan seorang wanita cedera.

Kejadian berlaku ketika pemimpin Palestin dan Israel cuba meredakan ketegangan di bandar itu yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.

Dalam kejadian terbaru, seorang wanita berusia 18 tahun cedera parah akibat ditembak selepas dia menikam seorang lelaki Yahudi berhampiran Masjid Al-Aqsa.

Lelaki Yahudi berkenaan bersenjata api menembak wanita itu yang menikam belakangnya dengan pisau.

Lelaki berusia 35 tahun itu dilaporkan cedera ringan manakala wanita terbabit parah.

Dalam satu kejadian berasingan di Kiryat Gat, tengah Israel, polis menembak mati lelaki Arab yang menikam seorang askar dan merampas senjatanya.

Satu lagi insiden berhampiran Baitullaham di Tebing Barat, pendatang haram Yahudi menembak dan mencederakan seorang pemuda Palestin berusia 18 tahun.

Kejadian berlaku apabila sekumpulan pemuda Palestin melontar batu ke arah pendatang haram Yahudi.

Di kawasan yang sama, sekumpulan pemuda Palestin didakwa cuba memaksa seorang wanita Yahudi keluar dari keretanya.

Wanita itu terselamat selepas beberapa pendatang haram Yahudi melepaskan tembakan amaran di udara.

Keganasan terbaru itu menyebabkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menangguhkan lawatannya ke Jerman bagi meredakan ketegangan yang masuk minggu ketiga.

Pegawai keselamatan Israel dan Palestin bertemu kelmarin selepas Presiden Palestin, Mahmud Abbas mahu keganasan itu dihentikan.

Pihak berkuasa Israel semalam juga menarik balik had umur terhadap penduduk Palestin yang mahu bersolat di Masjid Al-Aqsa bagi meredakan ketegangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 9:03 AM